NILAI, 28 Mac 2019 – Lembaga Tabung Haji dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diterajui oleh Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) sekali lagi berjaya menganjurkan Program Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) kali ke-10. Seramai 150 peserta terdiri daripada 93 lelaki dan 57 wanita terdiri dari pelbagai latarbelakang berjaya menamatkan pengajian mereka yang berlangsung selama lima hari bermula 23 Mac 2019 sehingga hari ini.

Majlis Penyampaian Sijil dan Penutup telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Prof Dato Dr Siddiq Hj Fadzil.

Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan (Jabatan Haji) dalam ucapannya berkata TH mendukung inisiatif Key Performance Indicator (KPI) Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Gagasan Pentadbiran Islam Di Era Malaysia Baru yang telah dilancarkan pada 7 Januari 2019, dimana kluster ke lima (5) Pengurusan Haji, meningkatkan model pengurusan Haji menjadi no. 1 di dunia dan program pengajian SPIH menuju objektif untuk mendapatkan keseragaman mutu perkhidmatan Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA). Dengan ini akan melayakkan mereka menjadi Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) melalui latihan formal dan professional dikendalikan sebuah institusi pendidikan tinggi berasaskan pengajian Islam melalui teknik terkini bagi membimbing bakal haji di tanah air dan di tanah suci”.

“Sejak dimulakan pada tahun 2009, TH telah mewar-warkan bahawa program ini akan menjadi pra-syarat kepada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) untuk bertugas sebagai Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS). TH memutuskan bahawa, pra-syarat ini telah dikuatkuasakan mulai Musim Haji 1439H”, jelas beliau lagi.

Manakala menurut Prof Madya Dr Faizal Kasmani, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), kelangsungan program pensijilan yang telah diadakan sejak tahun 2009 menunjukkan kepentingan untuk melengkapkan para pembimbing ibadat haji di tanah air dan di tanah suci dengan maklumat terkini dan kemahiran yang pelbagai. Ia juga memastikan kelestarian industri haji dan umrah di Malaysia serta memantapkan perjalanan ibadah haji dan umrah agar berjalan lebih efisien.

“Penyertaan kali ini merupakan tertinggi dari tahun-tahun sebelumnya dan sebanyak 14 modul pembelajaran yang disampaikan oleh pensyarah USIM, Ahli Penasihat Ibadat Haji (AJPIH) dan pegawai-pegawai TH yang berpengalaman”, tambah Dr Faizal.

“Saya bersyukur dapat turut serta program ini, untuk menambahkan pengetahuan selain mendapatkan pemahaman yang lebih jelas mengenai hukum hakam dan kecelaruan semasa ibadat haji umrah di Tanah suci”, jelas Muhammad Asyraf Amran selaku penghulu SPIH.

Beliau yang juga merupakan alumni USIM, berkhidmat sebagai Pengarah Bimbingan dan Latihan di Agensi Ustaz Harryanto Rizal Umrah Tour (UHR Travel & Tour Sdn Bhd) mengatakan modul dan pengisian program ini banyak mendedahkan secara teori dan praktikal kepada pembimbing haji, selain merasa senang hati kerana mengikuti program ini adalah sebagai pemudah cara atau ‘khadam dhufurrahman’.

Khadijah Zahari, 33, gembira dan melahirkan rasa syukur kerana tidak sangka dipilih sebagai peserta Terbaik Wanita kerana ini merupakan kali pertama mengikuti kursus Pembimbing Ibadat Haji memandangkan beliau merupakan seorang akauntan dan tidak mempunyai latar belakang pendidikan atau modul berkaitan haji sebelum ini.

“Pengalaman menunaikan ibadah haji tahun lepas telah membuka minda saya apabila banyak belajar dan berhubung dengan pakar rujuk Tabung Haji berkenaan perihal dan hukum hakam semasa di Tanah suci, justeru beliau turut menyatakan keperluan untuk pelapis muda untuk turut serta menyambung khidmat mereka kelak memandangkan kebanyakkannya telah berusia. Dari situ timbul niat untuk turut serta timba ilmu ini dan belajar dari awal mengenai pembimbing Ibadat Haji ini”.

Turut hadir Tuan Haji Mohd Sawal Abong Pengurus Besar (Penyelidikan & Pembangunan Haji) Lembaga Tabung Haji, Tuan Haji Nurrin Anuwar Shamsuddin Pengurus Besar Pengurusan Haji, Lembaga Tabung Haji, Tuan Haji Khairoddin Ahmad Pengarah Tabung Haji Negeri Sembilan dan Tuan Haji Mohd Zawawi Bostam Pengurus Kanan (Pembangunan Haji).

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032