NILAI, 19 Mac 2022- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menerima 2293 orang pelajar yang memilih untuk menjalani sesi akademik secara hibrid di kampus bagi program Sarjana Muda Semester II, Sesi Akademik 2021/2022. Pendaftaran ini akan berjalan selama tiga hari bermula semalam sehingga ahad ini bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff yang turut hadir meninjau proses pendaftaran pelajar berkata, beliau mengalu-alukan kedatangan pelajar yang akan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid dan mengharapkan agar pelajar sentiasa menjaga kesihatan dan belajar dengan bersungguh-sungguh, serta mengambil peluang untuk terlibat aktif dalam apa jua program yang dianjurkan oleh universiti walaupun dalam era pandemik yang memberi kelainan dan suasana baru.

“Sementara itu, Pelajar baharu Sarjana Muda ambilan Mac iaitu seramai 33 orang yang mula mendaftar secara dalam talian pada 11 Mac 2022 telah mula mendaftar masuk ke kampus pada Rabu lepas. Kaedah Taaruf secara dalam talian adalah dikekalkan bermula 17 Mac 2022 sehingga 19 Mac 2022 menerusi platform Sistem Global Open Access Learning System (GOALS) USIM berdasarkan situasi semasa pandemik COVID-19 yang melanda negara dan tertakluk kepada arahan dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dari semasa ke semasa”, ujarnya lagi.

USIM sentiasa memastikan prosedur operasi standard ketika PdP kampus dipatuhi oleh semua pelajar. Pelajar perlu mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi semua lokasi dan penganjuran program atau merekodkan nama dan nombor telefon dan masa kehadiran secara manual sekiranya tiada liputan internet. Manakala, bagi pelajar yang belum atau tidak lengkap vaksin, mereka diwajibkan untuk membuat ujian RTK-Ag (Saliva) kendiri seminggu sekali dan disemak oleh pengurusan kolej kediaman masing-masing.

Turut hadir ke sesi pendaftaran pelajar tersebut adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi melihat proses pendaftaran berlangsung lewat petang semalam.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan