NILAI, 21 November 2017 – Seramai 2,562 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Ijazah Sarjana Muda, Diploma Siswazah, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah masing-masing sempena Majlis Konvokesyen USIM kali ke-15 yang berlangsung bermula pada 21 November hingga 23 November 2017 bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Pada tahun ini, sebanyak lima (5) sidang berlangsung bermula dengan Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-15 pada 21 November (Sidang 1) yang disempurnakan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM.

Majlis Konvokesyen tahun ini memperkenalkan tema “Teknologi Islam” berselari dengan kelahiran kumpulan sulung graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Kejuruteraan Elektronik) di bawah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) seramai 21 orang. Tahun ini juga memperkenalkan seramai 13 orang graduan sulung dari Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian, kerjasama bersama Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

Daripada jumlah 2,562 graduan, pecahannya adalah 86 orang penerima Doktor Falsafah; 149 orang penerima Sarjana; 64 orang penerima Diploma Siswazah dan 2,263 orang penerima Ijazah Sarjana Muda.

Para graduan cemerlang yang diberi penganugerahan adalah penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) iaitu Nur Akma Mohd Dali dari Fakulti Syariah & Undang-Undang dan Khaulah Binti Mohamad Adi dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Penerima Anugerah Canselor adalah Mohd Ikmal Hakim Bin Mohd Azman dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Hamid Abdullah Hamid Al-Balushi dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan bagi kategori Siswazah manakala Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada Noor Shofiyyah Aiza Binti Mohd Noor dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Pada majlis yang sama, anugerah kecemerlangan turut disampaikan kepada graduan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Antaranya, Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor dan Pingat Emas Naib Canselor. Anugerah khas lain adalah Augerah Khas Yayasan Tun Azmi, Anugerah Khas Malaysian Press Institute, Anugerah Khas Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Anugerah Khas Kecemerlangan Kaunseling, Anugerah Khas Kecemerlangan Muamalat Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail diikuti sebanyak 5 graduan penerima Anugerah Buku Universiti, 8 graduan penerima Anugerah Buku Fakulti dan 9 orang penerima Anugerah Buku Ko-Kurikulum. Ini termasuk dua anugerah baru iaitu Anugerah Khas Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin dan Anugerah Khas The 4M Company.