NILAI, 16 Januari 2018 – Obesiti diketahui akan membawa kepada ancaman pelbagai masalah kesihatan disamping menjejaskan produktivi bekerja. Justeru itu, Pusat Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyasarkan seramai 300 kakitangan USIM akan menyertai Biggest Loser Challenge pada 2018 yang akan bermula Februari ini.

Biggest Loser Challenge adalah program penurunan berat badan yang mengkhususkan kepada kakitangan yang mengalami masalah berat badan. Melalui saringan kepada 264 kakitangan yang mengambil Ujian Kesihatan Jasmani dan Kecergasan (UKJK) pada 2017, didapati 164 daripadanya tidak memiliki Indeks Jisim Tubuh (BMI) dalam paras unggul apabila masing-masing berapa pada tahap pre-obes sehingga obes tahap tiga.

”Melihat kepada statistik ini, Pengurusan Universiti meminta Pusat Kesihatan mengambil inisiatif melaksanakan program mempromosikan kehidupan sihat di bawah platform FIT USIM dan kita mulakan musim pertama Biggest Loser Challenge versi USIM pada tahun lalu”.

”Pada 2017, seramai 100 kakitangan USIM telah menyertainya secara sukarela dengan pengisian modul dan pelaksanaanya dipantau oleh Pusat Kesihatan. Kita turut melantik empat orang duta terdiri daripada kakitangan USIM sebagai ikon sihat untuk membantu para peserta ini sepanjang tempoh mengikuti program dari April sehingga Disember” ujar Dr. Nik Mohd Shafikudin Md Taujuddin, Pengarah Pusat Kesihatan USIM.

”Objektif program kita jelas iaitu untuk beri kesedaran dan motivasi untuk menurunkan berat badan ke paras unggul, memupuk gaya hidup sihat dan seterusnya mereka ini menjadi agen perubahan terhadap pencegahan penyakit yang berkaitan dengan obesiti ini” tambahnya lagi.

Selain melaksanakan rutin senaman dan diet atas inisiatif masing-masing, peserta turut wajib mengikuti program taklimat khas yang disediakan Pusat Kesihatan USIM iaitu Pemakanan Sihat dan Seimbang; Aktiviti Fizikal; dan Bootcamp.  Mereka juga diminta melapor diri di Pusat Kesihatan secara berkali sekali sebulan untuk dipantau perkembangan mereka.

Pada penghujung program ini, peserta yang menunjukkan peratusan penurunan berat badan yang positif menerima insentif kewangan dari Universiti. Pada edisi pertama lalu, kakitangan Bahagian Audit Dalam USIM, Noor Yusmazieha Binti Mohd Azimi dinobatkan sebagai juara dan menerima wang tunai RM 1000.00 bersama sijil penghargaan yang disampaikan oleh Naib Canselor USIM dalam satu majlis di Dataran Canselori.

Pada majlis ini juga, kakitangan di tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM 500.00 dan RM 250.00 setiap seorang disamping lapan kakitangan dipilih menerima hadiah saguhati. Dengan peningkatan sasaran dua kali ganda penyertaan Biggest Loser Challenge pada tahun ini, Pusat Kesihatan USIM turut mengumumkan bayaran insentif kepada juara juga ditingkatkan kepada RM 1500.00 serta peserta yang berjaya pada edisi lepas turut dilantik sebagai mentor.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204