5000 Penghuni Kolej Kediaman USIM bergabung jayakan Himpunan Mega Inter-Kolej 2018

NILAI, 25 Mac 2018 – Mencipta kelainan dan sejarah baharu, satu majlis makan malam khas menghimpunkan penghuni kolej kediaman di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di bawah satu bumbung telah diadakan baru-baru ini. Bertempat di Dewan Tuanku Canselor, sekitar 6000 siswa-siswi penghuni kolej kediaman hadir memeriahkan Himpunan Mega Inter Kolej (HMI) USIM 2018.

Penganjuran HMI 2018 ini diterajui oleh Kolej Kediaman Satu dengan kerjasama padu Pusat Perumahan Pelajar dan Jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi Asrama (JAKSA). Selain penghuni Kolej Kediaman Satu, penghuni kolej kediaman lain yang terlibat adalah Kolej Kediaman Nilam Court, Kolej Kediaman Sutera Indah dan Kolej Kediaman Acacia Avenue.

Turut terlibat adalah penghuni Kolej Kediaman Pandan dan Campus Student Secretariat (OCSS) atau Sekretariat Pelajar Luar Kampus. HMI 2018 merupakan merupakan penjenamaan semula daripada Malam Perdana Siswa (MPS) yang juga merupakan acara tahunan bagi setiap Kolej Kediaman USIM yang dibuat berasingan oleh setiap kolej kediaman.

“Matlamat penganjuran himpunan ini adalah untuk menghimpunkan penghuni kolej kediaman dan pelajar luar kampus  bagi mengeratkan ukhuwah yang terjalin di antara penghuni, pengurus kolej kediaman dan kakitangan tertinggi universiti. Di samping itu, himpunan ini juga bertujuan untuk memberi anugerah penghargaan terhadap kejayaan para graduan USIM yang menetap di kolej kediaman USIM dan pelajar tinggal luar Kampus” ujar Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Majlis perasmian HMI 2018 telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad. Naib Canselor dalam ucapan perasmiannya memuji komitmen yang baik dari semua pihak yang terlibat merealisasikan HMI ini pelaksanaan tidak mudah seperti persiapan logistik dan jamuan kerana melibatkan hadirin yang ramai.

“Sebuah organisasi itu mampu menjadi terbilang dan cemerlang jika warganya mengamalkan sifat kebersamaan dan muafakat dalam mencapai aspirasi atau agenda yang telah dirancang. Begitu juga USIM, sejajar dengan hasrat Kampus USIM, Kampus Barakah menjelang tahun 2035, warga USIM meliputi kakitangan akademik dan pentadbiran serta pelajar merupakan game changer atau agen perubah bagi memastikan matlamat itu tercapai” ucap Naib Canselor USIM

Selain menikmati pelbagai jenis menu yang disediakan, para penghuni kolej kediaman yang hadir turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik seperti nasyid, pantomin, syair, tayangan video dan kumpulan muzik.

Disamping itu, acara kemuncak HMI ini adalah untuk memberi anugerah penghargaan terhadap para siswa-siswi USIM yang menetap di kolej kediaman atau tinggal di luar kampus. Seramai 36 orang telah dipilih menerima anugerah masing-masing dan antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Kepimpinan, Anugerah Akademik Cemerlang, Anugerah Khidmat Budaya, Anugerah Aktif Sukan dan Anugerah Khidmat Bakti.

Turut hadir menyerikan majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). Profesor Dato’ Dr. Zulkiple Abdul Ghani; Pengarah Pusat Perumahan Pelajar, Encik Ahmad Kamal Mustafa; pengetua dan felo kolej kediaman; kakitangan pentadbiran serta wakil komuniti sekitar USIM.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

2018-04-11T17:26:58+00:00