NILAI, 10 Januari 2021 – Seramai 63 Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor-SISPA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) layak ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam di Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor-SISPA) USIM bagi tahun ke 11 yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 3, USIM. Walaubagaimanapun, akibat kekangan penularan Wabak Covid-19 serta bencana banjir yang melanda negara, seramai 20 Kadet akan menerima pentauliahan menerusi siaran langsung menggunakan aplikasi dalam talian.

Majlis bersejarah bagi meraikan kejayaan kadet yang telah berjaya menamatkan sesi Latihan selama 2 tahun ini dijalankan dengan mengikut SOP yang ditetapkan dengan pelaksanaan norma baharu masa kini.

Majlis Pentauliahan ini dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Roslan Wahab.

Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa selaku Komandan Kor-SISPA USIM dalam ucapannya menyeru agar menerusi program Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor-SISPA) ini melahirkan graduan yang holistik dengan memiliki kecemerlangan akademik dan Kemahiran Insaniah (soft skill) yang tinggi, memiliki kelebihan sebagai personaliti unggul (Towering Personality) dalam masyarakat serta memiliki kelebihan dalam menempuhi alam pekerjaan yang mencabar nanti.

“Sudah pastinya di USIM, keseimbangan dan elemen ilmu iaitu secara Naqli dan Aqli amat penting bagi membolehkan graduan menimba ilmu moden dan pada yang sama mendapat suntikan roh dan nilai-nilai murni berlandaskan prinsip Islam agar berupaya menjelmakan generasi ummah cemerlang yang bersedia berbakti untuk negara”.

Manakala Pegawai Kadet Terbaik telah dianugerahkan kepada Leftenan Muda Muhammad Afiq Irfan Hisham.

Beliau yang berasal dari Kot Bharu Kelantan merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan kepujian.

“Kemahiran yang pelbagai serta ilmu ketahanan fizikal dan mental menjadikan beliau sangat meminati bidang ini. Kenangan manis yang tidak dapat dilupakan dapat mempelajari pelbagai kemahiran kendiri, serta menyertai SISPA Challenge di mana latihan daripada pagi hingga malam yang mana memberi pengalaman dalam menguruskan cabaran dan memupuk kesabaran yang tinggi dalam diri”.

“Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang pendidik dan visi saya untuk menguasai kemahiran dari pelbagai aspek agar dapat membantu dan menyumbangkan tenaga kepada negara dan masyarakat”, ujar Afiq.

Semenjak penubuhan yang bermula pada tahun 2008, seramai 686 Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor-SISPA) Universiti Sains Islam Malaysia telah berjaya menamatkan latihan seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam.

Sebahagian besar Leftenan Muda Pertahanan Awam yang telah bergraduasi masih berhubung sebagai alumni dan melibatkan diri secara langsung dan tidak langsung dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Namun yang lebih membanggakan apabila seramai 27 Leftenan Muda Pertahanan Awam yang merupakan graduan Universiti Sains Islam Malaysia telah menyumbang bakti sebagai sukarelawan dan bertugas bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia semasa menghadapi Wabak Covid-19 ini.

Dalam situasi sebelum norma baharu akibat penularan Wabak Covid-19, Leftenan Muda Pertahanan Awam USIM turut aktif melaksanakan program berkaitan kemasyarakatan di dalam dan luar negara serta memberikan khidmat bimbingan sebagai pembantu pengajar kemahiran dan ilmu Pertahanan Awam kepada sekolah, politeknik dan masyarakat di sekitar Negeri Sembilan.

Majlis ini turut mendapat Kerjasama dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan