NILAI, 11 Januari 2022 – Melalui program Corporate Services Responsibility (CSR) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), ACER Sales & Services Sdn Bhd dengan kerjasama KPT telah menyumbangkan sebanyak 30 buah komputer riba kepada pelajar kategori B40 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Agihan ini telah dijalankan sejak Ogos tahun lalu kepada pelajar yang berada di sekitar Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor melalui serahan tangan. Manakala pelajar daripada lain-lain negeri telah menerima komputer riba melalui pihak Pos Laju di atas kekangan pandemik COVID-19 yang membataskan pergerakan untuk merentas negeri.

Simbolik penyerahan disampaikan oleh Encik Mohamad Haris Fitri Hashim, Head of Public Sector Acer kepada wakil-wakil pelajar dengan disaksikan oleh Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Encik Md Ishah Rahman, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

USIM dengan kerjasama System Development and Engineering Centre (SDEC), Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Wakaf dan Zakat sentiasa memastikan keperluan dari segi peralatan bantuan belajar di beri perhatian supaya mereka dapat belajar dalam suasana yang kondusif.

Sumbangan ini amat bermakna bagi pelajar-pelajar ini untuk memudahkan aktiviti pembelajaran serta memberi semangat untuk menimba ilmu dan tingkatkan kepakaran seterusnya dapat menyumbang semula kepada masyarakat.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan