NILAI, 23 November 2021 – Graduan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi Dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Bahasa dan Utama, Suwaibah Mustapha,23, telah dianugerahkan dengan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) di Majlis Konvokesyen ke-19 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Anak ketujuh dari Sembilan beradik ini mendapat Pendidikan Rendah di Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi. Seterusnya memasuki Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’ untuk menyambung pendidikan di dalam bidang hafazan Al-Quran sebelum menyambung persekolahan peringkat menengah di Sekolah Menengah Islam Hira’.

Bergiat aktif sejak zaman persekolahan dalam dunia pengucapan awam dan Bahasa Arab menjadikan anak kelahiran Kota Bharu Kelantan ini mampu menguasai Bahasa Arab dengan baik serta membanggakan USIM dengan pencapaian cemerlang menyertai pelbagai pertandingan Debat di peringkat antarabangsa.

Antaranya beliau telah memenangi Johan di International Universities Arabic Debating Championship di Doha, Qatar pada tahun 2019. Pertandingan debat Bahasa arab ini adalah yang paling berprestij di dunia dengan penyertaan lebih 100 buah universiti dari 52 buah negara Arab, Eropah, Amerika Utara, Afrika, Asia Barat dan Asia Timur. Lebih membanggakan, apabila beliau juga berjaya meraih pendebat kedua terbaik keseluruhan bagi kategori bukan penutur jati Bahasa Arab setelah berjaya menewaskan pasukan dari Kanada, Turki, India, Jerman dan banyak lagi.

Apabila di tanya mengenai cabaran dalam menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, “sejujurnya ia bukanlah suatu yang mudah untuk diadaptasikan ketika itu. Lebih-lebih lagi saya perlu menguasai pembelajaran Bahasa Arab dan juga Bahasa Inggeris dalam masa yang sama”.

“Ibu dan Ayah banyak memberi sokongan dan semangat dan memahami waktu dan jadual belajar di rumah. Lebih-lebih lagi belajar di rumah banyak cabaran dari segi suasana pembelajaran, tanggungjawab sebagai anak untuk membantu Ibu dan Ayah dan sebagainya”.

Setelah menamatkan pengajian, beliau telah menerima tawaran pekerjaan di TV Al Hijrah dan juga Fakulti Pengajian Bahasa Utama di USIM. Namun, beliau menghormati kehendak Ibu dan Ayahnya yang berhasrat supaya memberikan khidmat dan jasa sebagai seorang Guru Bahasa di Fakulti yang sama beliau belajar.

“Pesanan saya kepada adik-adik di luar sana, jangan pernah rasa menyesal untuk belajar Bahasa Arab, bayangkan betapa indahnya jika kita dapat menghayati bacaan Al-Quran, bacaan dalam solat dan juga doa dengan menguasai Bahasa Arab ini. Percaya dengan diri sendiri, kerana bukan semua orang berkebolehan untuk bercakap dalam berbahasa arab”.

“Ayat ini saya sentiasa pegang sehingga kini, Bercita-citalah setinggi langit, sekalipun jatuh, jatuh ke awan, masih lagi tinggi”, ujarnya lagi.

Manakala Muhammad Syamim Md Morshid, graduan Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko) Fakulti Sains dan Teknologi, aktif secara total dalam aktiviti Debat Bahasa Arab tidak menghalang untuk mengekalkan kecemerlangan dalam bidang akademik apabila turut berjaya mendapat Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang).

Telah memulakan kerjaya sulungnya di FWD Takaful dalam Jabatan Actuarial Valuation , anak ketiga daripada empat orang adik beradik yang berasal daripada Johor Bahru menjadikan USIM sebagai pilihan pertama untuk menyambung pengajian apabila mendapat galakan daripada gurunya agar memilih jurusan Sains Aktuari berdasarkan minat yang mendalam beliau terhadap subjek Matematik dan juga Bahasa Arab. Mengambil kira teras Pendidikan di USIM yang menjadikan Bahasa Arab sebagai Bahasa pengantar dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Syamim tanpa menoleh kebelakang memilih USIM untuk menjadi pelengkap pengalaman akademiknya.

Beliau medapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah Johor Bahru, sebelum menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains MARA Ulul Albab Gemencheh. Minat beliau yang mendalam dalam subjek Matematik dan Bahasa Arab telah mendorong beliau menyambung pengajian di USIM dalam Program Tamhidi Sains dan Teknologi, seterusnya Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko. Kecemerlangan beliau dalam akademik dibuktikan dengan berjaya memperoleh Anugerah Dekan setiap semester di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Keputusan yang membanggakan ini telah menobatkan beliau sebagai penerima Anugerah Akademik Cemerlang di Majlis Anugerah Fakulti Sains dan Teknologi 2021 dengan Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.91.

Beliau juga merupakan seorang pendebat bahasa Arab USIM dengan membawa nama universiti dalam pertandingan di dalam dan luar negara. Antara kejayaan yang  dicapai adalah menewaskan pasukan debat dari Iraq, Lubnan dan Islamabad Qatar Foundation Asian Arabic Debate;  separuh akhir Asia Arabic Debating Championship; Johan Festival Jazirah Arab Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim; johan Sunan Kalijaga Arabic Festival; johan International Hawari Debate Championship dan naib johan International Speech and Debate Competition anjuran Organisation of Islamic Cooperation (OIC) Youth Indonesia.

Menyorot kembali detik-detik ketika pengajiannya di USIM, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah pada satu ketika apabila pulang ke kolej kediaman daripada latihan debat agak lewat, dikala semua rakan-rakan sebilik begitu santai menghabis masa setelah menyiapkan tugasan, tetapi beliau dalam keadaan penat dan baru ingin menyiapkan tugasan kuliah, perasaan ketika itu bercampur baur. Penat, sedih, tertekan dan pelbagai perasaan lain bermain di fikiran. Tetapi apabila mengingat semula kata-kata semangat daripada Jurulatih debat yang selalu ditekankan kepadanya, itulah yang menjadi pemangkin untuk terus buat yang terbaik.

Bila mana sesuatu perkara itu susah, itu bererti kita sedang dalam proses untuk belajar sesuatu. Justeru, bila rasa penat, jangan pernah berhenti dan mengalah, rehat dan teruskan sampai kita berjaya mencapai apa yang diimpikan. Percayalah, semua yang penat akan menjadi manis akhirnya”.

Untuk berjaya dalam apa jua lapangan, kita mesti tahu apa yang ingin dicapai, tetapkanlah sasaran. Apa yang dipegang oleh Syahmim adalah, redha Allah adalah pada redha ibu dan bapa. Gembirakanlah ibu dan bapa, belajarlah dengan tekun dan gembirakan mereka dengan keputusan yang cemerlang. In Shaa Allah sekiranya ibu bapa redha, kita akan mendapat keredhaan Allah jua akhirnya, ujarnya.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan