KOTA BHARU, 12 Feb 2017 – Alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kini berjumlah lebih 14,000 boleh membantu Universiti melalui pendekatan wakaf samada berbentuk kewangan, pemindahan ilmu dan perkongsian pengalaman seperti dalam  bidang keusahawanan kepada mahasiswa.

USIM yang kini merupakan satu-satunya Universiti Awam yang mendapat status Mutawali dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan membolehkan ia mengutip dan mengurusan dana wakaf, justeru ia membuka ruang yang baik kepada alumni untuk terus menyumbang dalam bentuk pendanaan kewangan khususnya bagi pembangunan infrastruktur dan kemudahan di dalam kampus.

Perkara ini dinyatakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad semasa bertemu dengan kira-kira 100 alumni USIM dalam Majlis Ramah Mesra Naib Canselor bersama Alumni KUIM/USIM Pantai Timur di Kelantan Trade Center, Kota Bharu Kelantan pada semalam petang (Sabtu).


“Sejak kumpulan pertama alumni kita dilahirkan pada 2003, para alumni kita kini berada dalam pelbagai sektor. Kita menyedari bahawa  alumni memiliki kemampuan untuk terus menyumbang kepada pembangunan Universiti walaupun tidak lagi berada di dalam kampus dan wakaf adalah salah-satu darinya”.

“Atas rasa itu, Universiti ingin terus membina hubungan langsung yang lebih erat bersama para alumninya. Bagi memujudkan gagasan yang strategik dan sinergi yang berterusan antara alumni dan universiti, USIM mengambil inisiatif melancarkan program Jelajah Alumni ke seluruh negara mengikut zon. Kita anjurkan siri jelajah ini secara berperingkat dan Pantai Timur dipilih lokasi sulung untuk pelancarannya siri jelajah ini” ujar Naib Canselor.

“Saban tahun kita menerima permohonan dan kemasukan ke USIM yang amat tinggi daripada pelajar Kelantan dan Terengganu. Berdasarkan pemerhatian, pelajar sekolah agama di kedua-dua negeri ini menjadikan kita sebagai universiti idaman (pilihan utama) untuk menyambung pengajian dan senario ini adalah satu penghormatan dan kebanggaan sebenarnya kepada Universiti yang berteraskan pengintegrasian ilmu Naqli-Aqli ini” tambahnya lagi.

Projek yang telah digerakkan oleh Universiti melalui pembiayaan wakaf USIM kini adalah Pusat Pakar Kesihatan, Pusat Hemodialisis dan Klinik Pakar Mata Bergerak di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Projek pembangunan wakaf yang terkini diusahakan oleh Universiti adalah pembangunan kolej kediaman pelajar.

Kehadiran alumni dalam siri jelajah ini memberi petanda yang amat positif bahawa alumni masih mempunyai rasa kebersamaan dan cintakan Universiti yang tinggi. Pada majlis yang dianjurkan oleh Pusat Alumni dan Kerjaya dan Persatuan Alumni USIM ia turut dihadiri Pengurusan Kanan Universiti antaranya Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni; Prof. Dato’ Dr. Zulkilpe Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa dan Encik Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar.

 

Prepared by:
Zaini Othman
Strategic Communication Centre (StraComm)
Level 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204