NILAI, 30 APRIL 2020 – Lebih 20 orang Alumni Kor SISPA Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ditempatkan di beberapa kawasan sekitar Negeri Sembilan sejak Fasa 1 arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Penyelaras Kor Siswa/I Pertahanan Awam (Kor SISPA), Leftenan (PA) Mohamad Ghazali bin Abdul Rahim, usaha murni ini dilaksanakan bagi membantu negara menghadapi segala kemungkinan selain memastikan keselamatan awam negara dalam keadaan terkawal.

Tambahnya, kesemua mereka ditempatkan antaranya di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Seremban, Pusat Pemantauan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Stesen Kuarantin Akademi Audit Negara (AAN), Stesen Kuarantin Institut Aminuddin Baki (IAB), Stesen Kuarantin Royale Chulan dan Stesen Kuarantin UiTM Rembau.

“Alumni Kor SISPA USIM merupakan pegawai pasukan berstatus Leftenan Muda lantikan APM yang terlatih dalam kerja-kerja pengurusan pejabat dan pengurusan operasi bencana. Justeru, kepakaran yang dimiliki oleh mereka amat diperlukan dalam tugasan pentadbiran di stesen kuarantin seperti pengumpulan data bagi setiap individu yang berstatus dalam pemantauan (PUS) atau dalam siasatan (PUI) dan agensi, penyediaan laporan harian, penyediaan minit mesyuarat, penjadualan penugasan anggota dan lain-lain tugasan,” ujarnya.

Bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini, Penyelaras Kor SISPA USIM memohon agar kesemua PUS atau PUI yang berada di setiap stesen kuarantin memberi kerjasama yang baik kepada semua petugas.

Di akhir pertemuan, beliau turut berpesan agar semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjaga jarak sosial, kerap mencuci tangan dan pergi ke hospital berdekatan sekiranya mempunyai gejala.

Penglibatan Alumni Kor SISPA USIM bermula apabila Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan membuka peluang untuk berkhidmat membantu barisan hadapan negara di pelbagai agensi antaranya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Disediakan oleh:
Nur Hanisah Mohd Hadi
Noor Syazwani Halim
Leftenan Muda (PA) Kor Sispa USIM

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan