NILAI, 11 Dis – Majlis Amanat Perdana Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Haji Abdul Shukor bin Haji Husin yang julung-julung kali diadakan bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3 menjadi platform untuk beliau berkongsi pandangan penentuan halatuju dan tindakan USIM dalam mencapai wawasan dan masa depan Universiti yang lebih gemilang.

Tiga isu utama yang dikongsikan oleh YBhg. Pengerusi Lembaga Pengarah adalah cabaran dan masa depan USIM, keprihatinan USIM terhadap warganya dan kegelisahan serta keresahan pemikiran Akidah yang melanda masyarakat Islam Malaysia kini khususnya tindakan yang perlu diambil warga USIM sebagai pencegahan bersama.

Mengimbau kembali penubuhan awal USIM yang dulunya dikenali dengan nama Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), hadirin diingatkan supaya melaksanakan kehendak dan tujuan asal penubuhannya iaitu membangunkan modal insan dari kalangan generasi muda yang berteraskan ilmu pengetahuan Naqli dan Aqli, memiliki sikap mulia, berkemahiran dan mempunyai kemampuan berfikir secara kreatif dan inovatif.

“Amanah yang dipertanggungjawabkan ini hendaklah digalas oleh seluruh warga USIM bukan sahaja Pengurusan Tertinggi USIM, pegawai sokongan, ahli akademik malah Mahasiswa/i USIM perlu turut serta mendukung bagi menjayakannya”.

“Dalam zaman globalisasi ini dengan ledakan media baharu, pendidikan adalah sesuatu yang dinamik dan tidak statik kepada suatu keadaan sahaja, bahkan ia merupakan suatu pelaburan bagi membentuk manusia menjadi insan yang sebenarnya tiada nilai komersial malah tidak dapat dijangkakan samada ia dapat memberi manfaat sepenuhnya atau tidak”.

Tambahnya lagi, pembangunan insan perlu dilaksanakan dengan didikan secara neutral bagi melahirkan insan seimbang dari aspek fizikal, rohani, spiritual, emosi dan tingkah laku secara keseluruhannya di mana ia merupakan cabaran kepada warga USIM yang perlu didukungi secara bersama.

YBhg. Tan Sri turut berkongsi empat perkara yang menjadi persepsi USIM untuk dikenali sebagai Pusat Pengajian Tinggi berteraskan Pendidikan Islam berasaskan Wahyu Allah yang mana teras ilmunya adalah taufiq, pendekatan didikan menerusi nilai-nilai murni, ilmu yang dikaji bertujuan untuk menyebarkan syariat Allah sebagai panduan membina kehidupan dan pembinaan hadarah atau ketamadunan bukan untuk generasi kini tetapi manusia sejagat.

Diakhir amanat beliau, dua perkara beliau tekankan kepada seluruh warga USIM samada diperingkat Pengurusan, Pensyarah, Pentadbir, Kakitangan Sokongan dan Pelajar adalah melaksanakan sesuatu tindakan secara penuh bijaksana (hikmah) dan jujur dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.  “Sayangi Universiti kita yang menjadi tempat kita berkhidmat bagi meneruskan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Negara dan Kerajaan”.

Turut hadir ke Majlis Amanat Perdana ini adalah YBhg. Prof Dato Dr Asma Ismail, Naib Canselor USIM, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Tertinggi USIM, kakitangan USIM, ahli akademik serta para pelajar USIM.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

Penolong Pendaftar StraComm