NILAI, 23 FEBRUARI 2016 – Majlis Amanat Tahun Baharu 2016 oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad merupakan satu landasan tepat kepada Naib Canselor untuk melancarkan Pelan Strategik 2016-2025 atau singkatannya PS-USIM:16&25.

Bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Dato’ Musa menyifatkan pelan strategik berkenaan memainkan peranan penting bagi menyemai sokongan dan menyatukan kekuatan sumber serta kemampuan di antara semua warga USIM dari kalangan ahli akademik, kumpulan pentadbir, kumpulan sokongan serta mahasiswa. Uniknya, Pelan Strategik USIM dijajarkan juga dengan keperluan MyRA, KPI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta elemen Integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam setiap teras yang dibangunkan.

Mendukung 10 lonjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi), USIM menggariskan 7 teras kecemerlangan iaitu :

1.Pembelajaran & Pengajaran Berteraskan ilmu Naqli dan Aqli

2.Penyelidikan & Inovasi yang Relevan kepada Industri dan Kesejahteraan Ummah

3.Graduan yang Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang Melalui Integrasi ilmu Naqli dan Aqli

4.Governan dan Pembangunan Modal Insan yang Boleh Menarik dan Mengekalkan Bakat Terbaik Bersifat Global, Multi Bahasa dan Seimbang

5.Kemudahan Fizikal dan Prasarana yang Kondusif bagi Pembelajaran dan Pendidikan

6.Kemampanan Kewangan

7.Penjenamaan dan Pemposisian yang Konsisten dan Efektif

“USIM turut menyahut seruan KPT untuk menggunakan Sistem Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu atau Integrated Cummulative Grade Point Average dengan singkatan nama i-CGPA. i-CGPA akan mula diperkenalkan kepada pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda kemasukan Sesi 2016/2017 di mana sistem ini akan menggabungkan keputusan akademik pelajar dan model Graduan Integrasi ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) dengan komposisi 70% komponen akademik dan 30% komponen GIINA,” ucap Dato’ Musa.

Tambahnya, bagi pembangunan dalam inovasi, USIM mensasarkan untuk memperoleh 20 hakcipta yang berdaftar serta dua paten yang berjaya difailkan. “Ini adalah sebagai langkah proaktif USIM yang telah mendapat Indeks Produktiviti = 0 dalam bidang inovasi pada tahun lalu”.

Selain itu, USIM mensasarkan untuk mengkomersialkan tiga produk inovasi yang telah sedia ada. Usaha ke arah ini telahpun dijalankan sejak tahun lalu melalui Pusat Inovasi, Jaringan Industri dan Masyarakat (PIJIM) untuk produk HURMA (pakaian pesakit yang dihasilkan oleh pelajar FPSK yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa).

Pada majlis yang sama, turut diadakan Pelancaran Kampus Bebas Rokok dan Vape kerjasama antara Pusat Kesihatan USIM bersama Pejabat Kesihatan Negeri Sembilan yang diwakili oleh Pegawai Perubatan (Ketua Unit NCD), Dr. Mimi Rodzaimah Abd Karim.

Lanjutan daripada kuatkuasa yang ditetapkan pada awal Januari lalu, pelajar atau kakitangan USIM yang didapati melanggar larangan menggunakan vape dan rokok dalam kampus boleh dikenakan denda RM 100. Sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan dalam tempoh 14 hari, nilai denda akan dimasukkan ke dalam sistem maklumat akaun pelajar sebagai hutang. Manakala bagi kakitangan pula, tindakan pemotongan gaji akan dilaksanakan.

Di akhir majlis, Dato’ Musa menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi  Jemaah Profesor Universiti, Prof. Dr. Muhammad Taufik Mohd Noor.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Shukor Husin, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Nik Mohd Nasri Nik Ismail, dan barisan Pengurusan Tertinggi Universiti.

Disediakan oleh:

Nur Athirah Ismail

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204