NILAI – Peka terhadap kesukaran yang dihadapi oleh komuniti pekak dan bisu untuk belajar membaca Al-Quran mendorong penyelidik muda, Mohd Aqil Irwan, Pelajar Tahun 4 dari Fakulti Sains dan Teknologi untuk menghasilkan satu aplikasi e-pembelajaran yang dinamakan ARSOM.
ARSOM merupakan aplikasi Android yang direka untuk orang-orang pekak dan bisu belajar mengenal Huruf Hijaiyah dalam bahasa isyarat (bahasa isyarat Arab). ARSOM diambil dari perkataan أصم (pekak) dan singkatan Augmented Reality (AR) itu sendiri digabungkan dengannya.
Menurutnya, idea tersebut bermula dari kajian projek tahun akhir bagi memenuhi markah subjek dan syarat untuk bergraduasi.
“Ia bermula dari ketika peringkat awal kajian dalam proses mengumpulkan maklumat melalui sesi temu bual cikgu-cikgu di Akademi FAQEH Nilai, Nilai Impian, saya sempat berkomunikasi dengan salah seorang cikgunya yang juga merupakan komuniti pekak. Pada masa itu, saya tersedar seandainya diri ini seorang insan pekak, amat susah untuk berkomunikasi dan belajar, khususnya belajar membaca Al-Quran, maka terhasilkan idea ini”.
“ARSOM berfungsi untuk memaparkan bahasa isyarat pergerakan tangan berbentuk model 3D melalui kad abjad Huruf Hijaiyah. Ia agak menarik kerana huruf tersebut seakan-akan hidup dan membolehkan pengguna meniru pergerakan tangan yang terhasil secara tidak langsung memudahkan pemahaman pembelajaran mengenal Huruf Hijaiyah,” tambahnya lagi.
“Walaubagaimanapun, penghasilan setiap 30 Huruf Hijaiyah perlu dibuat secara teliti kerana setiap abjad memerlukan perbezaan yang terperinci supaya boleh menghasilkan suasana Augmented Reality yang tepat bagi setiap Huruf Hijaiyah.”
Menyatakan keyakinannya bahawa aplikasi ini boleh diterima oleh komuniti pekak dan bisu, Mohd Aqil Irwan, mengharapkan agar produk ini juga mampu memberi manfaat kepada masyarakat normal.
“Hal ini kerana Al-Quran adalah tunjang utama dalam melaksanakan solat dan memerlukan fasa pembelajaran yang berterusan untuk menguasainya. Begitu juga bagi komuniti pekak dan bisu yang terbatas dari segi pengucapan, sudah tentu harus meneruskan pembelajaran Al-Quran melalui alat bantuan untuk menguasainya dengan mudah seperti orang normal. Saya berharap agar ARSOM juga boleh diakses di serata dunia oleh komuniti pekak dan bisu sebagaimana Whatsapp dan Instagram dapat diakses serata dunia oleh kita sebagai orang normal”.
Mohd Aqil Irwan merupakan pemenang bagi hadiah utama iaitu Anugerah Inovasi Islam bagi kategori Prasiswazah di Ekspo Inovasi Islam (i-INOVA’18) baru-baru ini yang membawa pulang hadiah wang tunai RM 3,000 beserta medal dan sijil.
Ciptaan :
Mohd Aqil Irwan Bin Abdul Mutalib
Pelajar Tahun 4 Sains Komputer (Keselamatan & Jaminan Maklumat)
Fakulti Sains dan Teknologi