PUTRAJAYA, 27 September 2019 – Amnya komuniti berkeperluan khas atau lebih dikenali sebagai OKU sering dipinggirkan dek kerana tidak ramai kepakaran bagi membantu mereka mendalami dan mempelajari ilmu agama khususnya pembelajaran al-Quran. Dalam konteks OKU Pekak, strategi, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian dan pemindahan ilmu itu perlu mengambil kira kekuatan dan kelainan upaya belajar bagi komuniti istimewa ini. Sebagai Muslim, mereka juga tidak terkecuali untuk sama-sama menghayati mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW bagi merealisasi konsep indahnya hidup beragama dan selaras dengan gagasan Rahmatan lil ‘Alamin (rahmat seluruh alam).

Justeru, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Kumpulan Penyelidik, Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) rasa terpanggil untuk berkhidmat dalam menghasilkan Aplikasi Quran Isyarat pertama seumpamanya bagi Komuniti Pekak di Malaysia dan mampu menjadi model aplikasi mesra OKU Pekak di peringkat antarabangsa.

Projek Aplikasi ini telah dilancarkan oleh YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) beserta penyerahan mock cheque berjumlah 100 ribu dari Yayasan Taqwa sebagai dana awal pembangunan Projek Wakaf Aplikasi Quran Isyarat ini. Ia berlangsung bersempena penganjuran Karnival Rahmah 2019 dari reruai TV Al Hijrah di Dataran Putrajaya pada 27 September 2019.

Menurut Ketua Projek Tuan Haji Norakyairee Mohd  Raus, aplikasi yang menyokong peranti android ini mensasarkan keseluruhan al-Quran dengan pendekatan Wakaf Tunai RM1,000.00 bagi setiap halaman dan pembangunannya keseluruhan 30 juz al-Quran berjumlah RM604,000.00. Manakala kos perkhidmatan dan latihan berjumlah RM396,000.00.

”Inovasi terkini ini dicipta bagi meraikan kekuatan visual komuniti pekak dengan elemen kedudukan dan teks ayat serta kod Hijaiyyah Arab, terjemahan rumi (Transliterasi Makhraj) yang mendapat Kelulusan Mesyuarat JK Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Terjemahan tafsir mesra OKU Pekak ini juga dikombinasikan dengan bantuan jurubahasa isyarat. Kini, sebanyak 11 surah telah siap dibangunkan dan masih memerlukan dana bagi 103 surah yang lain”.

Beliau berkata lagi, Projek Wakaf Tunai telah dilaksanakan bagi menjayakan inovasi ini serta turut mendapat kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat USIM, Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) dan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH) serta Cyber Security and System Centre (CSS) USIM. Usaha ini selaras dengan hasrat USIM sebagai kampus barakah dalam menerajui konsep universiti untuk komuniti berasaskan pendekatan integrasi ilmu Naqli dan Aqli.

Disediakan :
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan