KUNMING, 18 Ogos – Pepatah Melayu ‘Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih’ menjadi azimat kepada sekumpulan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menjayakan program khidmat komuniti merentas Negara ke Kunming, China bermula pada 18 hingga 24 Ogos 2014. Program Misi Kembara Asimilasi di Bumi Kunming merupakan salah-satu program di bawah Global Islamic Student Outreach (GISO) USIM disertai seramai 20 pelajar Unit Latihan Pembangunan Mahasiswa (ULPM) baru-baru ini.

Selain peruntukan yang diberikan oleh Universiti, kumpulan pelajar ini mengambil inisiatif mengadakan jualan amal semasa bulan Ramadhan lalu untuk menjana kewangan tambahan. Menurut Saudari NurRaihana Mohd Nasir, 22 yang merupakan pelajar Tahun Akhir jurusan Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, beberapa program jualan amal dilaksanakan antaranya Jualan Amal di Putrajaya, Jumble Sale For Charity, Jualan Amal ‘Baju Raya Project’ Nilai dan kemuncaknya adalah Jualan Amal Mega Baju Raya Projek di Stadium Tertutup Nilai.

“Apa yang menarik tentang jualan amal ini ialah barangan yang diterima merupakan hasil pemberian masyarakat sekitar Nilai dimana barang-barang terpakai ini dijual dengan harga sekitar RM1 ke RM7 sahaja.” Ujarnya yang juga merupakan Pengarah Program Misi Kembara Asimilasi di Bumi Kunming.

Bercerita mengenai program semasa di Kunming, mereka melaksanakan program khidmat komuniti di perkampungan muslim yang terletak di Da BaiYi, pelajar Madrasah Kunchang serta beberapa Institusi Islam di Kunming. Pelajar juga berpeluang mempelajari seni tulisan khat China Arab dengan Imam Masjid Nancheng, Imam Ahmed Ma Yong yang terkenal dalam menghasilkan kepelbagaian khat di China. Salah seorang peserta, Saudara Mohamad Akmal, pelajar jurusan Teknologi Kimia Industri turut mempersembahkan hasil seni tulisan khat yang dipelajarinya di Malaysia.

“Kita juga saling bertukar kefahaman budaya misalnya semasa bersama penduduk Kampung Shadian, peserta dihidangkan makanan tradisi China muslim seperti zhushi iaitu makanan utama berasaskan karbohidrat dan kanji; cai iaitu makanan yang mencampurkan pelbagai jenis sayur-sayuran, daging dan ikan; mi sup dan mantou (pau kukus). Kebetulan kita juga dapat melihat adat majlis perkahwinan China Muslim yang amat meriah di sana.”

“Penduduk kampung juga teruja apabila menikmati nasi impit berserta kuah lodeh, nasi lemak, the tarik, kerepek dan kuih tradisional yang kami sediakan. Di Stone Forest, pelajar di  pakaikan pakaian tradisi China dan semasa mengadakan majlis selawat di Shuncheng, kami menghadiahkan kerongsang kepada wanita-wanita muslim disana untuk dipakai pada tudung mereka sebagai cenderamata. Manakala aktiviti mewarna turut diadakan khusus untuk kanak-kanak. Penerimaan mereka sangat mengujakan membuatkan kami rasa sebak untuk meninggalkan mereka”.Katanya lagi.

Masyarakat Islam di Da BaiYi, selain menggunakan Bahasa Mandarin, mereka juga lebih fasih menggunakan Bahasa Arab daripada Bahasa Inggeris. Justeru itu, ia memberi pendedahan komunikasi berkesan kepada pelajar USIM yang boleh berbahasa Arab dan pada yang sama turut mempelajari Bahasa Mandarin.

Melalui program ini, hasrat Univeristi untuk menjalankan “knowledge transfer” berjaya disambutbaik oleh peserta dengan pelbagai pengisian berfaedah selama di Kunming selain menimba ilmu dan kemahiran insaniah dalam bidang pengurusan untuk menjayakan program pengantarabangsaan seperti ini.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204