NILAI, 19 Ogos 2020 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini sedang berkampung di Kunak, Sabah bermula 15 Ogos 2020 hingga 20 Ogos 2020 dalam menjayakan program menyantuni masyarakat iaitu Projek Jelajah Sukarelawan USIM 2020.
Seramai 13 orang delegasi dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Almuni di ketuai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), YBhg Prof. Dr. Rushdan Mohd Jailani bersama-sama 3 orang ahli Gap Year 3.0 dan 4 orang ahli MyFundAction Sabah turut serta dalam usaha menyantuni penduduk kampung di kawasan Semporna Sabah, Kampung Tanjung Keramat Semporna dan Warga pendidik dan pelajar di SK Madai.
Menjadikan program lebih bermakna, USIM melalui usaha peserta Gap Year 3.0 dan MyFundAction Sabah telah memberi sumbangan berbentuk sebuah pondok bas kepada SK Madai untuk kemudahan dan kegunaan pelajar memandangkan pondok hentian bas sedia ada tidak mencukupi bagi menampung kira-kira seramai lebih 400 orang pelajar.
Timbalan Naib Canselor HEPA yang turut hadir menyampaikan simbolik penyerahan sumbangan pondok hentian bas tambahan kepada SK Madai menyatakan kecemerlangan sesebuah universiti bukanlah terletak pada kecemerlangan akademik semata-mata namun boleh dinilai sejauh mana universiti mampu memberikan manfaat dan kebaikan kepada komuniti dan warga kampus.
“USIM bersama Gap Year 3.0 dan badan sukarelawan, MyFundAction 2020 Sabah dari golongan belia namun mempunyai semangat tinggi dan mempunyai kepekaan untuk membantu masyarakat khususnya yang kurang berkemampuan. Ia memberi impak yang baik kepada perubahan dan dan pembangunan masyarakat setempat,” ucap YBhg Prof. Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani dalam Majlis bersama Warga SK Madai.
“Selain mengusahakan sumbangan pondok hentian bas, Gap Year 3.0 turut mengagihkan Kotak Rezeki Ummat yang berupa makanan asas diberikan kepada 15 buah keluarga dari golongan asnaf dan memerlukan,” ujar Muhammad Aminuddin bin Adnan selaku wakil peserta Gap Year 3.0.
Antara aktiviti yang diatur adalah Sanggar ilmu di SK Madai yang dikendalikan oleh pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Dr. Syaza Azhari dengan menampilkan demonstrasi penghasilan hand sanitizer dan produk FST, shrink art selain pelajar diberikan taklimat pencegahan Covid-19 manakala Sanggar Terapi berbentuk program motivasi disampaikan oleh Pegawai Psikologi USIM, Tuan Ameer Tuan Ismail.
Program bersifat motivasi dan akademik dalam Projek Jelajah Sukarelawan USIM 2020 mendapat sambutan baik dari penduduk setempat dengan pelbagai pengisian lain antaranya Sanggar Sukan (Pertandingan Street Soccer dan Sukaneka Kanak-kanak), Sanggar Sihat (Tunjuk Ajar Berus Gigi, Seminar Keluarga, Kuiz Seminar), Program Santunan Amal di Pantai Ampilan, Kunak, Sanggar Bakti (Gotong-Royong Kampung Madai) dan aktiviti pendakian Gua Madai.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan