NILAI, 6 JULAI 2022  – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menggerakkan kumpulan pertama sukarelawannya yang terdiri daripada 15 orang kakitangan dan pelajar ke Baling, Kedah bagi membantu mangsa banjir di enam buah kampung di Baling. Kampung-kampung yang terlibat dalam misi bantuan tersebut adalah Kampung Padang Dan, Kampung Iboi, Kampung Bok bak, Kampung Sadek, Kampung Tanjung dan Kampung Masjid Tiak.

Kumpulan sukarelawan USIM yang diketuai oleh Encik Nur Ekmal Buhary, Pengarah Pusat Sukan USIM mula bergerak kira-kira jam 9 malam 5 Julai dengan membawa bersama barangan keperluan berupa bekalan makanan kering, ubat-ubatan, barangan keperluan bayi, keperluan solat seperti telekung, kain pelikat dan sejadah, selimut, bantal, tikar serta peralatan-peralatan pembersihan pasca banjir seperti water jet dan detergen.

Naib Canselor USIM, Yang Berbahagia Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani yang hadir melepaskan (flag off) kumpulan sukarelawan berkata, empat buah kenderaan pacuan empat roda dan satu van telah dikhaskan untuk membawa para sukarelawan dan barang-barang keperluan untuk tujuan bantuan awal ke lokasi-lokasi bencana. Pengumpulan barangan untuk sumbangan kepada mangsa banjir ini telah digerakkan bagi memberi peluang kepada warga USIM khususnya untuk turut membantu meringankan beban mangsa yang terlibat.

“Cakna dengan situasi semasa yang berlaku di Baling ketika ini, pihak USIM sentiasa terbuka dalam memberikan bantuan kepada mangsa yang terkesan dengan bencana alam dan saya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat dalam misi bantuan prihatin banjir ini sama ada secara langsung atau tidak langsung dan kekal menjaga keselamatan dan kesihatan mereka sepanjang operasi ini.” ujarnya lagi.

Turut menyertai misi bantuan di Baling ini termasuklah Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Yang Berhormat, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. Turut hadir ke lokasi Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan