USIM, 29 Januari 2019 – Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Bengkel Onboarding Pelan Strategik USIM bagi tahun 2019 bertempat di Galeri Canselori USIM.

Menurut Pengarah StraComm, Dr Hayati Ismail, usaha untuk menyatukan semua pengurusan tertinggi dan ketua-ketua jabatan adalah mekanisme untuk mendapatkan idea, input dan sumbang saran yang selari untuk bersama-sama menetapkan halatuju USIM pada 2019.

“Saya yakin dengan komunikasi yang jelas dan penglibatan kesemua pengurusan tertinggi dan ketua-ketua jabatan akan membantu USIM memenuhi segala sasaran yang ditetapkan untuk Pelan Strategik 2019,” katanya lagi.

Selain itu, Naib Canselor USIM, Y.Bhg Prof Dato’ Dr Musa Ahmad menambah bahawa langkah penetapan pelan strategik ini adalah penting kerana ini lah yang akan menjadi hala tuju USIM pada masa hadapan. Bengkel yang dianjurkan ini adalah untuk memberi peluang kepada semua ahli pengurusan tertinggi universiti untuk berbincang, bertukar-tukar pendapat dan membuat penambahbaikan dalam menetapkan sasaran dan halatuju untuk tahun 2019.

“Pelan Strategik inilah yang akan diikut sebagai panduan dan rujukan yang telah disusun kemas dan teratur mengikut aspirasi atau niche universiti kepada semua warga USIM. Penetapan dalam Pelan Strategik ini juga sebenarnya menjadi platform yang mencabar kewibawaan semua ketua PTj untuk membuat tindakan yang proaktif, membuat ramalan di masa hadapan, menetukan keputusan yang dibuat adalah betul, yang akan menjamin kejayaan dan memberi impak kepada USIM,” katanya lagi.

Beliau juga berpendapat bahawa apa yang dibincangkan dan dimetraikan dalam Pelan Strategik ini perlu dikomunikasikan dengan jelas kepada semua warga USIM sama ada di peringkat tertinggi mahupun di peringkat kumpulan sokongan. Ini kerana, Pelan Strategik ini perlu diketahui, difahami oleh semua lapisan warga USIM dan seterusnya diaplikasikan oleh semua termasuklah pengurus dan pentadbir di USIM.

Bengkel sehari yang diadakan itu telah dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti pembentangan poster, perbincangan dan gallery walk.

Turut serta Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato Dr. Roshada Hashim Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) , Dato Muhammad Haizuan Rozali Pendaftar, dan Dato Mohd Abd Rasid Mohd Fadzil Bendahari USIM.

 

Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hassan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032