NILAI, 22 April 2018 – Kumpulan penyelidik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Professor Negara (MPN) Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan mengambil pendekatan berkongsi ilmu kepakaran berkaitan industri tenusu kepada masyarakat umum melalui penganjuran seminar Ilmiah Tenusu Kambing 2018 bertempat di Dewan Auditorium Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM), Kampus Besut, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Penganjuran seminar ini menyediakan platform kepada para penyelidik untuk berkongsi kepakaran mengenai teknologi terkini bidang penternakan baka kambing dan berkongsi dapatan hasil penyelidikan mengenai khasiat susu kambing kepada masyarakat umum yang mana peserta yang hadir dari kalangan penternak dan pengusaha tenusu kambing di Malaysia.

Di antara pengisian utama seminar adalah ceramah dan forum yang mencangkupi topik Halatuju Tenusu Kambing di Malaysia, Promosi ”Dairy Goat Farm (GDF)” UniSZA, Manfaat Haiwan Ternakan dari Perspektif Islam, Kreativiti dan Inovasi di dalam Industri Tenusu Kambing, Tenusu Kambing dan Hala Tuju Penyeidikan Perubatan dan Pembentangan Hasil dan Halatuju Penyelidikan Susu Kambing dalam Bidang Perubatan di USIM.

”Sebagai penganjur, kami berharap agar seminar ini mendapat input yang membina daripada semua peserta, dan juga dapat menjana jaringan kerjasama yang baik di masa akan datang antara peserta, penyelidik, penternak dan pengusaha tenusu kambing di Malaysia,” ujar Prof. Dr. Ramli Abdullah (UniSZA), Penyelaras Bersama Jawatankuasa Kerja Seminar Ilmiah Tenusu Kambing 2018.

Menurut Dr. Nor Azila Noh, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, segala dapatan maklumbalas dan perbincangan dua hala yang terhasil antara semua pihak diharapkan dapat menghasilkan manfaat untuk kemajuan industri tenusu kambing di negara kita.

Seminar ini bukan sahaja mendapat sambutan daripada pensyarah universiti dan pelajar pascasiswazah malah, pegawai jabatan veterinar dan masyarakat setempat juga turut hadir bagi mendapat input bersama.

Seminar yang dirasmikan oleh Prof. Tan Sri Dr Amin Jalaludin, Majlis Profesor Negara turut dihadiri oleh Naib Canselor UniSZA, YBhg. Prof. Dato’ Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar USIM, YBhg. Prof Dato’ Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Disediakan oleh :
Jawatankuasa Seminar Ilmiah Tenusu Kambing 2018
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204