SEPANG – Menghimpunkan fatwa-fatwa dalam bidang tertentu untuk dijadikan sebuah buku bukanlah mudah, namun dengan terzahirnya sebuah buku kompilasi fatwa yang komprehensif serta dapat membantu pemahaman dan rujukan umum sewajarnya dipuji dan diberi penghargaan.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Pusat Penerbit baru-baru ini telah melancarkan buku kompilasi bertajuk Fatwa-Fatwa Perubatan Di Malaysia hasil susunan Pensyarah Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Dr. Muhamad Rafiqi Hehsan.

Buku yang diterbitkan melalui Dana Penerbitan Inisiatif Belanjawan 2023 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu mengumpulkan semua fatwa berkenaan perubatan yang telah dikeluarkan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Mufti setiap negeri. Dengan terhasilnya buku ini, manfaat yang sangat besar dapat dikongsikan kepada pelajar, pensyarah, pengamal perubatan dan juga ahli agama serta masyarakat bagi mendapatkan fatwa-fatwa perubatan dalam satu bahan rujukan yang komprehensif.

Dana penerbitan yang diterima oleh Pusat Penerbit ini merupakan insentif yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk mempergiat aktiviti perbukuan dan terjemahan serta menjadikannya sebagai bahan bacaan yang disukai ramai. Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari dalam ucapan pelancaran buku tersebut berkata, DBP amat menggalakkan penghasilan buku-buku akademik dalam Bahasa Melayu, terutamanya bagi penulis dalam bidang Syariah, Perubatan dan Undang-undang untuk turut sama menyumbang dalam penerbitan buku-buku akademik di dalam bahasa Melayu tidak mengira sama ada melalui penerbit agensi masing-masing atau melalui hantaran terus manuskrip kepada DBP. Ini selaras matlamat utama kerajaan untuk memperkasakan industri buku negara serta mengembangkan ilmu pengetahuan dengan menggunakan Bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan.

Pada majlis tersebut, sebanyak enam institusi pengajian tinggi awam dan swasta telah terpilih untuk menerima agihan buku ini. Turut hadir di majlis pelancaran buku tersebut adalah Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Encik Shahrun Nizal Mohd Nor, Bahagian Buku Sekolah, dekan-dekan fakulti perubatan Universiti Awam dan Swasta terpilih serta rakan strategik USIM.

 

Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan