NILAI, 24 Ogos 2021 – Para pelajar dari empat buah sekolah terpilih yang merupakan calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021 menerima suntikan motivasi secara langsung dari mahasiswa tahun akhir jurusan Seni Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini.

Program Archi-Naqli Bersama Masyarakat adalah satu program yang telah dirancang oleh Jabatan Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) USIM sejak dari awal tahun 2021 untuk diadakan secara bersemuka dengan pelajar sekolah terpilih.  Namun demikian, program ini terpaksa dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi ZOOM kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan pandemik COVID-19 yang masih membimbangkan.

Pelajar yang terpilih untuk mengikuti program motivasi khas ini adalah seramai 46 orang dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Bandar Penawar, Kota Tinggi Johor; 57 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, Terengganu; 93 orang dari SMKA Melor, Melor, Kelantan; dan 120 orang dari Sekolah Menengah Imtiaz Dungun, Terengganu.

Menurut Ar. Nasrudin Sharkawi selaku pensyarah penasihat bagi program ini, seramai 28 orang siswa tahun akhir jurusan Seni Bina FKAB terlibat menjayakan siri motivasi ini kepada pelajar sekolah berkenaan.

”Siswa USIM kita bahagikan kepada empat kumpulan kecil untuk setiap sekolah untuk mereka menjalankan modul aktiviti motivasi yang telah kita sesuaikan dengan pelaksanaan norma baharu secara dalam talian. Ini satu pendedahan yang baik untuk mahasiswa berinteraksi dengan masyarakat luar kampus yang mana kita fokuskan kali ini untuk calon-calon SPM dan STPM 2021”.

”Ini juga merupakan program serampang dua mata di mana pelajar sekolah disuntik dengan motivasi oleh siswa USIM melalui perkongsian pengalaman dan strategi pembelajaran yang telah mereka lalui untuk dapatkan keputusan cemerlang di sekolah dan universiti. Pada masa sama, pelajar sekolah turut didedahkan laluan untuk melanjutkan pengajian Seni Bina di USIM dan prospek kerjaya sebagai seorang arkitek atau ahli profesional dalam industri pembinaan” ujar Ar. Nasrudin.

Secara keseluruhanya, pihak sekolah dan pelajar yang terlibat amat berpuas hati dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Seni Bina FKAB USIM untuk menambahkan lagi semangat kepada para pelajar ini untuk  belajar bersungguh-sungguh bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam SPM dan STPM nanti.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan