JEMPOL, 13 JAN 2017 – Program Dakwah Tatbiqi bersama masyarakat kampung orang asli, Kampung Sungai Sot, Jempol anjuran Mahasiswa Tahun 3 USIM  jurusan Dakwah dan Pengurusan Islam telah berlangsung pada 11 hingga 13 Januari 2017.

Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah gotong-royong membersihkan kawasan balai kampung. Di samping itu, pasukan penggerak dari pihak Pusat Dakwah Islamiyah Paroi, Negeri Sembilan juga turun padang untuk membantu mahasiswa USIM mengendalikan program selama 3 hari ini.

Aktiviti menanam juga telah dilakukan bersama masyarakat kampung orang asli di balai kampung yang terletak berhampiran dengan rumah penduduk kampung itu. Semua tanaman itu ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi mewujudkan kecantikan dan keceriaan halaman kampung tersebut.

Selain itu, aktiviti Smart Solat juga dijalankan untuk memberikan pengetahuan yang asas tentang cara-cara solat yang betul.

Aktiviti penyembelihan ayam telah mendapat sambutan yang baik dari masyarakat Kampung Sungai Sot. Aktiviti penyembelihan ini dimulakan dengan penerangan ringkas oleh saudara Zuhaili, wakil mahasiswa Tahun 3 jurusan Dakwah selaku pengarah program susulan dakwah tatbiqi ini.

Kemudian diteruskan dengan latihan amali oleh penduduk kampong sendiri. Pada sebelah malam pula, sekumpulan band yang diberi nama Keledek Buskers membuat persembahan nyanyian santai bagi mengisi slot Malam Kebudayaan. Kumpulan band ini terdiri daripada mahasiswa USIM sendiri. Program kebudayaan diserikan lagi dengan jamuan makan malam ayam panggang bagi meraikan masyarakat kampung orang asli.

Bagi memeriahkan program, sumbangan pakaian dan kasut sebanyak 15 kotak juga diberi kepada penduduk Kampung Sungai Sot hasil infaq daripada orang ramai tanda prihatin kepada masyarakat kampung. Program diakhiri dengan pembersihan kawasan rumah ditambah hiasan penanda arah kiblat bagi memudahkan urusan masyarakat kampung serta bersalam-salaman bersama keluarga angkat orang asli.

NurHamidah binti Jalil
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP)