Kuala Lumpur, 11 November 2010 – Dalam usaha memastikan graduan Universiti Sains Islam Malayia (USIM) diterima baik di pasaran industri masakini, Pusat Hubungan Industri dan Pengkomersialan (PHIP) mengambil langkah proaktif menjalinkan kerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMM KL).

Memorandum Persefahaman ini bertujuan untuk menggalakkan kerjaama kedua-dua pihak dalam penyediaan penempatan pelajar-pelajar USIM menjalani latihan industri, bimbingan dan nasihat dalam bidang keusahawanan, menjalankan penyelidikan secara bersama meliputi aspek industri, pemasaran, khidmat nasihat dan kewangan di samping memberi latihan kepada staf akademik dan pelajar USIM dalam bidang yang berkaitan.

Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM dan Y.Bhg. ADJ. Prof. Dato’ Syed Amin Al Jefri, Presiden DPMM KL telah menandatangani memorandum tersebut.

Menurut Y.Bhg. ADJ. Prof. Dato’ Syed Amin Al Jefri, DPMM KL sangat mengalu-alukan kerjasama yang erat terutamanya di kalangan Institusi Pengajian Tinggi.

“USIM merupakan IPTA pertama yang menjalinkan kerjasama dengan DPMM KL dan pihak DPMM KL akan sedaya upaya membantu pelajar-pelajar USIM dari segi khidmat nasihat, bimbingan, latihan dan juga dari sudut kewangan”, kata beliau lagi.

Manakala, Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, berharap dengan terjalinnya kerjasama ini, pelajar USIM dapat dipersiapkan dengan ilmu-ilmu dan pengalaman yang sangat diperlukan dalam menempuhi dunia pekerjaan dan industri kelak.

Turut hadir Prof. Dr. Abdul Jalil Abdul Kader, Pengarah PHIP dan En. Khazali Ibrahim, Pengarah Eksekutif DPMM KL.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Gambar oleh : Kamarull Syamzari Kamaruddin (Tel:06-7988058)