NILAI, 15 Mei 2023  – Dua daripada empat produk inovasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dipertandingkan di Pameran Reka Cipta, Inovasi & Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023 baru-baru ini menerima pengiktirafan khas, iaitu Anugerah Inovasi terbaik bagi kategori Institusi Pendidikan dan Universiti melalui inovasi ICE BOX (Indoor, Comfort, Environment) dan Anugerah Inovasi Terbaik melalui produk inovasi ‘BioCast’ daripada Patent office of the cooperation council for the Arab States of the Gulf. Kedua-dua inovasi tersebut turut menerima anugerah pingat emas.

Profesor Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM yang hadir ke majlis penyerahan anugerah itu berkata, beliau mengharapkan agar para penyelidik terus bersemangat menghasilkan inovasi-inovasi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan menaikkan nama universiti khususnya dan negara amnya.

Menurut Profesor Madya Ar. Dr. Elina Mohd Husini, selaku Ketua penyelidik Produk inovasi ICE Box, ICE Box ialah sistem yang berfungsi untuk menyejukkan ruang ke tahap keselesaan penghuni hasil daripada perubahan haba termostat dari cecair ke ais yang direka bentuk secara modular. Sistem yang dijana dari sumber solar atau grid mengurangkan pengeluaran karbon juga sebagai Bateri untuk penyimpanan tenaga termal untuk penukaran fungsi penyejukkan pada waktu malam dan penukaran haba ke sistem air panas pada siang hari untuk sesebuah penempatan.

“Menariknya, sistem ini telah dijalankan melalui tiga fasa iaitu dalam saiz yang berskala besar dengan kerjasama industri, seterusnya ditambahbaik rekabentuk dan sistem yang dikhaskan penggunaannya untuk sebuah rumah dan peringkat penyesuaian rupa produk bagi kegunaan pada ruang awam. Sistem ini telah diuji pada iklim yang berbeza; tropika dan empat musim semasa pembinaan dalam pertandingan Rumah Solar Di Dubai 2018. Hasilnya menunjukkan permintaan elektrik puncak, dan dengan itu menjimatkan tenaga, sambil mengekalkan tahap keselesaan penyejukan yang sama. Apa yang penting, sistem ini dapat memberi peluang kepada setiap penghuni menikmati tahap keselesaan yang optima dan memberi peluang kepada pengusaha perumahan dengan kaedah penjimatan ini”, ujarnya lagi.

 

 

Sementara itu, Ts. Dr. Mohd Ifwat Mohd Ghazali berkata, inovasi BioCast yang turut dianugerahkan Anugerah Inovasi Terbaik (Best Invention Award) daripada Patent office of the cooperation council for the Arab States of the Gulf, merupakan kas lengan (arm cast) yang diperbuat daripada PHB, polimer semula jadi yang diperoleh daripada sisa makanan, dan resin berasaskan urethane dimethacrylate (UDMA).

“Mengikut pengalaman pesakit yang mengalami patah tulang lengan yang menggunakan BioCast ini, tempoh penyembuhan yang mampan dan lebih selesa dirasai oleh mereka dimana ia disesuaikan mengikut dimensi dan keperluan pesakit”.

“Malah, produk yang dicetak secara 3D ini di mana reka bentuk pengudaraan dan kebersihannya juga membantu mengurangkan potensi risiko komplikasi semasa proses penyembuhan. Ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada pesakit, tetapi juga mesra alam. PHB boleh terbiodegradasi, menjadikannya pilihan yang lebih mampan berbanding tuangan tradisional yang diperbuat daripada sumber tidak boleh diperbaharui”, ujar Dr. Ifwat selaku Ketua Penyelidik.

Turut menangi anugerah dua lagi produk inovasi yang dipertandingkan iaitu Celf Biofilm, dan Eco Caldent yang menangi anugerah Emas dan Perak bagi produk tersebut.

Pameran yang bertemakan ‘Teknologi Membalikkan Perubahan Iklim’ itu berlangsung selama dua hari dan menghimpunkan 700 penyertaan reka cipta dari pelbagai institusi dan individu dari pelbagai negara. Ia dilaksanakan serentak dengan World Young Inventors Exhibition (WYIE) yang menghimpunkan pereka cipta generasi muda dari Malaysia dan seluruh dunia.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan