MUAR, JOHOR, 21 April 2018 –Seramai 15 orang mahasiswa Johor dari Universiti Sains Islam Malaysia telah menyertai Program Duta Jauhar di bawah kelolaan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ). Seiring dengan pembangunan Negeri Johor, Mahasiwa USIM atau digelar sebagai Duta Jauhar USIM telah memulakan langkah pertama dengan mengadakan satu program Part Of Me (POM): ”Sanjungan Kasih” di Kampung Parit Haji Anuar, Ayer Hitam, Muar pada hari sabtu yang lalu.
Program Part Of Me (POM): ”Sanjungan Kasih” telah dianjurkan oleh Duta Jauhar 5.0 USIM dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan Jawatankuasa Kampung Parit Haji Anuar, Ayer Hitam.
Antara objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada golongan ibu tunggal di kampung tersebut yang merupakan sasaran utama projek Duta Jauhar USIM tentang projek yang akan dilaksanakan dan memperkenalkan kepada mereka produk makanan yang akan dihasilkan iaitu ”Banana Frozen”. ”Banana Frozen” merupakan satu produk makanan yang berasaskan pisang dan diinovasikan menjadi nuget. Dalam program ini juga, golongan ibu tunggal diberi tunjuk ajar secara menyeluruh proses pembuatan produk makanan tersebut melalui bengkel pembuatan dan pemprosesan ”Banana Frozen”.
Adlin Hayat Pengurus projek berkata, seramai tujuh orang ibu tunggal telah menyertai bengkel pembuatan dan pemprosesan “Banana Frozen” ini. Di bengkel tersebut, mereka telah didedahkan secara menyeluruh tentang cara-cara pembuatan dan bahan-bahan yang digunakan.
“Dengan penyertaan yang memberangsangkan daripada golongan ibu tunggal sedikit sebanyak telah memberi idea-idea baru bagi penambahbaikan produk daripada projek kami. Harapan saya semoga ibu tunggal di Kampung Parit Haji Anuar iaitu golongan sasaran projek kami dapat memberi kerjasama dalam menjayakan projek duta jauhar 5.0 USIM sekaligus dapat membantu mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik”.
Majlis Part Of Me (POM) Duta Jauhar USIM telah dirasmikan oleh Encik Mohd Afezan Bin Yahya, Penghulu Mukim Ayer Hitam yang mewakili Pegawai Daerah Muar. Turut hadir Prof Dato Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor USIM dan Encik Mohd Naili Jazli, Pegawai Khas Duta Jauhar YPJ. Ahli Duta Jauhar USIM berharap agar dapat mengeratkan lagi hubungan dengan penduduk kampung tersebut terutamanya golongan sasaran mereka iaitu golongan ibu tunggal yang menjadi nadi utama penggerak Projek Duta Jauhar USIM iaitu Projek Fruitty Delight dan semoga projek Duta Jauhar USIM berjalan dengan lancar sepanjang pelaksanaannya.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204