Unit Kebudayaan (UK) Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya meneruskan kelangsungan aktivitinya dalam memberi pendedahan kepada mahasiswa USIM  melalui  penganjuran Bengkel Penyiaran Media Lanjutan 2011 yang telah diadakan pada 2 hingga 3 November bertempat di Studio Latihan Seni, Unit Kebudayaan BHEP baru-baru ini. Melalui penyertaan seramai 35 orang peserta, bengkel ini bertepatan dengan objektif Projek Kecemerlangan Mahasiswa iaitu ke arah memperkasakan nilai tambah melalui elemen pembangunan kemahiran insaniah mahasiswa USIM.

Meneruskan kelangsungan aktiviti terdahulu melalui penganjuran Bengkel Penyiaran Media 1 pada Mei 2011, bengkel kali ini juga dilaksanakan melalui kolaborasi pintar bersama media cetak cetak dan elektronik seperti Utusan Malaysia, TV3 dan pegawai sukan USIM merangkap Penyelaras Media KPT.Selain itu, bengkel ini juga dilihat sejajar dengan USIM KRA 1 iaitu ke arah membentuk dan melahirkan graduan holistik dan berdaya gaji tinggi.

Menurut Encik Nasrul Hakim Ahmad, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM dalam ucapan perasmiannya, beliau melihat potensi dan keberkesanan bengkel ini dalam melatih pelajar supaya berupaya menghasilkan hasil penulisan yang dapat disalurkan kepada media cetak dan elektronik. Langkah progresif ini adalah sebagai inisiatif  BHEP untuk membuat hebahan dan juga mengadakan promosi aktiviti mahasiswa yang dijalankan di kampus. “Kita memerlukan promosi dan publisiti yang meluas untuk membina imej yang sihat dan baik di samping mengubah persepsi lama dengan melihat bahawa melalui penglibatan pelajar dalam bengkel ini diharap dapat menjadi satu platform membina softskills mahasiswa USIM. Universiti berhasrat melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja mengikuti pembelajaran dalam bilik kulliah semata- mata tetapi pro aktif menceburi bidang-bidang luar sebagai tambahan kepada pembelajaran sedia ada,” tambah beliau.

Antara pengisian yang diketengahkan sepanjang bengkel ini berlangsung adalah slot Penyiaran Media Elektronik dan Teknik- Teknik Wawancara yang telah disampaikan oleh Encik Ahmad Fedtri Yahya,  Personaliti dan juga Penerbit  Malaysia Hari Ini (TV3) dan slot  Penulisan Penyiaran Media Cetak dan Teknik Penulisan Berita dan Rencana  yang dibentang oleh Encik Mohd Saiful Mohd Sahak, wartawan kanan Utusan Malaysia. Slot Pengurusan Media pada hari kedua pula telah dikendalikan oleh Encik Nur Ekmal Buhary, Pegawai Belia dan Sukan, Pusat Sukan USIM merangkap Penyelaras Media di Bahagian Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi.

Melalui slot  Latihan Dalam Kumpulan (LDK), para peserta juga telah ditugaskan untuk membuat tugasan kerja lapangan. Para peserta diberi tempoh masa tertentu untuk membuat liputan berita di luar kawasan kampus sebelum sesi pembentangan kerja kumpulan diadakan. Antara objektif utama bengkel lanjutan ini direalisasikan adalah untuk membentuk  imej pelajar yang berketrampilan, membina keyakinan diri dengan pembinaan kualiti kepimpinan di samping meningkatkan kemahiran penulisan berita atau write up untuk media cetak dan elektronik. Bengkel ini juga bertujuan untuk menyelaras penyiaran program-program di peringkat Hal Ehwal Pelajar yang akan dipimpin oleh para peserta  yang akan dipilih menjadi Ejen Berita HEP. Ejen Berita ini akan  diselaras oleh Editor Utama yang akan dipimpin oleh pegawai Unit Kebudayaan USIM.

Menurut Encik Ismail Ahmed, Pegawai Kebudayaan USIM, idea menubuhkan kumpulan Ejen Berita ini bertepatan dengan lapan fungsi  utama Unit Kebudayaan iaitu Perhubungan Media BHEP. Dalam sesi talklimat ringkas tentang hala tuju Ejen Berita HEP, beliau membentangkan, empat agenda pendekatan yang akan ditekankan melalui penubuhan Ejen Berita iaitu meningkatkan kemahiran penyediaan bahan penulisan, melengkapkan peralatan  perhubungan media, menyelaras bahan siaran sama ada media cetak atau media elektronik dan juga membina jaringan kerja secara kolektif menerusi penubuhan website Ejen BeritaHEP. Keseluruhannya tambah beliau lagi, Bengkel Media Lanjutan kali ini telah berjaya mencapai sasaran bagi memilih dan melantik seramai 20 Ejen  Berita HEP yang terbaik dan berdedikasi tinggi dalam kumpulan tersebut.

Oleh : Ejen Berita- Wanza Mohamad