NILAI, 24 Oktober 2017 – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM telah menganjurkan satu seminar kesihatan peringkat kebangsaan kali ke-enam atau dikenali sebagai 6th USIM National Health Seminar 2017 (6th USIM NHS 2017).

6th USIM NHS 2017 kali ini bertemakan “Nutrition in the 21st century: Are we on the right track?” Seminar ini telah diadakan di Kolej Permata Insan, USIM, Nilai, Negeri Sembilan. Para peserta yang hadir terdiri daripada golongan para pensyarah serta penyelidik, doktor perubatan, jururawat, sains kesihatan bersekutu serta pelajar.

Merujuk pada tema NHS 2017, seminar kali ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan pemakanan. Isu-isu ini telah dibentangkan oleh pakar-pakar dalam bidang pemakanan yang telah dijemput dari seluruh negara. Antara isu yang dibincangkan termasuk, keperluan dan kepentingan supplemen kesihatan, obesiti, pemakanan kanak-kanak dan orang tua serta memahami concept makanan Sunnah sebagaimana yang diterangkan dalam Al-Quran dan Sunnah.

Seminar ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu semasa pemakanan khususnya merujuk kepada gaya hidup masyarakat sekarang di mana penyakit-penyakit berkaitan dengan memilih pemakanan yang kurang sihat seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi serta jantung semakin meningkat. Disebabkan oleh peningkatan kes penyakit-penyakit seperti ini telah wujud nya trend di mana masyarakat kini mudah terdedah dan terpengaruh untuk memilih jalan singkat seperti pengambilan ubatan diet atau supplemen yang mudah untuk diperoleh di pasaran yang masih kurang jelas akan keberkesanannya kerana kurangnya bukti secara saintifik.

Melalui seminar ini, perkongsian ilmu dan kerjasama dapat di pupuk di antara para penceramah, peserta serta industri yang hadir. Disamping itu, para peserta memperoleh ilmu yang berguna berkaitan pemilihan pemakanan serta amalan gaya hidup yang sihat untuk disampaikan kepada masyarakat sejagat.

Disediakan oleh :
Mohd Salehudin Bin Sukor
Penolong Pendaftar Kanan
Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Tel : 03-42892438