NILAI, 13 September 2019 – Seramai kira-kira 100 pelajar telah menerima makanan percuma bersempena pelancaran program “Food for Mahasiswa” bagi sesi 2019/2020 oleh Sekretariat Fiqh dan Fatwa (SEKREFIFA) Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Majlis perasmian yang berlangsung di perkarangan bangunan Fakulti Syariah dan Undang-Undang dihadiri oleh para pelajar khususnya pelajar fakulti itu sendiri.

Program ini bertujuan bagi menjaga kebajikan para pelajar khususnya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Alternatif menyediakan sarapan percuma setiap dua kali sebulan dan dibuat pada hari Jumaat ini diusahakan oleh Sekretariat Fiqh dan Fatwa bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan sara hidup mahasiswa/wi serta menjadi satu usaha tentang pentingnya sarapan.

Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) USIM, Dr. Arif Fahmi Bin Md Yusof mengucapkan tahniah kepada Sekretariat Fiqh dan Fatwa kerana bertungkus lumus bagi menjayakan program “Food for Mahasiswa”.

“Program sebegini amat bermanfaat pada mahasiswa kerana dapat mengurangkan beban pelajar terhadap kos sara diri. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan oleh legasi kepimpinan Sekretariat Fiqh dan Fatwa seterusnya”, ujar beliau lagi.

Selain itu, program agihan makanan percuma ini turut menerima sumbangan berbentuk kewangan dan makanan daripada beberapa individu yang berbesar hati untuk membantu merealisasikan program ini.

“Kami bertungkus lumus untuk menjayakan program ini kerana ianya merupakan salah satu alternatif solusi bagi kemaslahatan yang timbul disamping melihat keperluan mengambil sarapan pagi amat penting bagi mahasiswa untuk menjalani aktiviti pembelajaran yang amat padat”. Kata Saudara Nuaim bin Md Idris, Presiden Sekretariat Fiqh dan Fatwa 2018/2019.

Turut hadir di program Food for Mahasiswa ini ialah Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Dr Arif Fahmi Bin Md Yusof dan Timbalan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Dr Hendun Binti Abd. Rahman Shah, Ketua Program Undang-Undang dan Syariah, Dr. Adzidah Binti Yaakob, Ketua Program Fiqh dan Fatwa, Dr Hasnizam Bin Hashim serta barisan pimpinan Sekretariat Fiqh dan Fatwa sesi 2018/2019 dan sesi 2019/2020.

 

Disediakan oleh :
Badrul Hisham Zakaria
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan