NILAI, 26 Mac 2018 – Memasuki usia 15 tahun penubuhan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ia terus cemerlang mencipta pelbagai kejayaan membanggakan universiti di pentas nasional dan antarabangsa. Ditubuhkan pada 2003, ia menawarkan enam program akademik berteraskan sains yang diadunkan bersama ilmu-ilmu Islam bagi menonjolkan elemen Sains Islam.
Sempena menyambut usia penubuhannya ke-15 tahun ini, FST telah mengadakan majlis khas iaitu Sambutan 15 Tahun FST bertemakan ‘Bridging Science and Society’ yang disempurnakan perasmiannya oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz selaku Pro-Canselor USIM pada Isnin,26 Mac 2018.
Pada masa kini, FST mempunyai seramai 1,622 orang pelajar Sarjana Muda serta 193 orang pelajar pascaiswazah dari dalam dan luar negara. Fakulti ini turut terkehadapan apabila 89% daripada 98 orang kakitangan akademiknya mempunyai Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai disiplin ilmu.
“Sejajar dengan perkembangan USIM di dalam penyelidikan dan inovasi, FST merupakan antara penyumbang utama di dalam perkembangan pesat penyelidikan dan inovasi di USIM. Keterlibatan dalam penyelidikan yang aktif, anugerah penyelidikan peringkat dalam dan luar negara serta rekod penerbitan ahli akademik FST yang cemerlang”.
“Misalnya pada tahun lalu, penyelidik di FST telah berjaya mengharumkan nama USIM di peringkat antarabangsa dengan menerima anugerah Gold and Diamond for International Invention of The Year di British Invension Show (BIS) 2017, United Kingdom”
“Pada baru-baru ini di Ekspo Inovasi Islam (i-INOVA) pula, dua anugerah utama untuk kategori pra siswazah ; Anugerah Al-Khawarizmi melalui produk Lab In A Box, dan Anugerah Inovasi Islam melalui produk ARSOM : Arabic Sign Languange Learning Android Apps Using Augmented Reality dirangkul oleh FST” ujar Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad.
Pada majlis ini, YAM Tunku Ali Redhauddin turut berkenan melancarkan buku khas Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli terbitan FST. Beliau turut berkenan untuk merasmikan kafe istimewa yang diwujudkan oleh fakulti iaitu Bake N Brew Café. Selain menjadi salah-satu cabang penjanaan kewangan, ia turut menjadi tempat latihan amali kepada para pelajarnya.
Selain itu, perasmian Makmal STREAM (Science, Technology, Religiosity, Engineering, Art and Mathematics) yang pertama seumpamanya di Negeri Sembilan turut dirasmikan oleh YAM Tunku Ali Redhauddin.Dibuka kepada umumnya untuk dilawati, ia akan menarik minat khususnya pelajar sekolah untuk melihat pameran menarik bertemakan teknologi sains, kejuruteraan dan matematik serta berpeluang melakukan eksperimen interaktif yang terdapat di dalamnya.
Bagi memeriahkan lagi ulang tahun penubuhannya, pelbagai acara berimpak tinggi telah dirancang oleh FST sepanjang tahun ini antaranya ialah World Science Day, Science Camp, National Islamic Science Seminar, Aturkreatif, ICT Click dan Majlis Makan Malam Alumni FST.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204