Bandar Baru Nilai, 13 Mac 2010 – Bermotokan “Membina Pewaris Legasi Gemilang”, Kelab Debat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM 2010 yang berlangsung pada 5 hingga 13 Mac 2010.  Program yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar ini telah berlangsung di bangunan Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Kejohanan pada kali ini mendapat penyertaan penuh daripada 8 fakulti termasuk Pusat Tamhidi (Matrikulasi).

Fakulti Syariah dan Undang-Undang telah dinobatkan sebagai pemenang Piala Pusingan Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM. Ini bermakna, FSU sekali lagi berjaya mempertahankan Piala Pusingan Naib Canselor yang dimenangi oleh mereka pada tahun lalu daripada dirampas oleh fakulti lain yang bertanding.

Bagi kategori Debat Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah menewaskan Fakulti Syariah dan Undang-Undang yang sekadar berpuas hati sebagai Naib Johan. Johan berjaya membawa pulang Piala Pusingan, Piala Iringan dan Sijil manakala Naib Johan membawa pulang Piala Iringan dan Sijil.

Manakala Kategori Bahasa Inggeris pula Pusat Tamhidi membuktikan kebolehan mereka berbanding pasukan senior dengan menewaskan pasukan daripada Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Bagi Kategori Bahasa Melayu pula, Fakulti Syariah dan Undang-Undang terpaksa berpuas hati bergelar Naib Johan selepas gagal menyerlah daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan selaku Johan. Saudara Izzudeen Ayub daripada FPSK telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik.

Dalam mencapai objektifnya untuk mencungkil bakat dan membina barisan pelapis pendebat yang mantap, Kelab Debat telah melakukan transformasi dalam konsep pelaksanaannya. Dalam kejohanan pada kali ini, Kelab Debat telah menubuhkan Akademi Debat yang dikendalikan oleh Unit Debat Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab dengan bantuan para pendebat universiti. Pendedahan awal mengenai perdebatan serta teknik-teknik berdebat telah diterapkan dalam Akademi Debat ini. Selain daripada itu, Sistem Mentor juga telah diperkenalkan dalam kejohanan pada kali ini dan diaplikasikan bermula peringkat suku akhir.

Menurut Saudara Mohd Azri Naim Mohd Kamal, Pengarah Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM 2010, Mentor yang terdiri daripada para pendebat universiti yang berpengalaman luas dalam arena perdebatan telah dipertanggungjawabkan untuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada pasukan yang telah layak ke peringkat suku akhir.

“Dengan wujudnya Sistem Mentor ini akan menaikkan lagi semangat para pendebat baru dan menyiapkan pasukan mereka agar lebih mantap dalam penghujahan dan perdebatan”, tambah beliau lagi ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Penutup dan Pertandingan Akhir Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM 2010.

Naib Canselor USIM, Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dalam ucapan perasmiannya berkata, kemahiran pengucapan awam seperti debat dan pidato merupakan satu nilai tambah kepada mahasiswa untuk membina karakter diri mereka. Disinilah mahasiswa dapat menyuarakan pandangan dan idea yang kritis serta mengupas isu-isu yang diperdebatkan dengan fakta secara rasional.

Oleh :
Unit Komunikasi Korporat
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028