THAILAND, 7 Februari 2018 – Seramai 17 orang peserta dan seorang pegawai pengiring dari Kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjayakan misi kembara Global Islamic Student Outreach (GISO) di Hat yai, Thailand baru-baru ini.

Bertemakan “Kembara Peers, Sebarkan Positif” ianya lebih memokuskan program berbentuk motivasi dan pembelajaran dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang boleh membina keyakinan yang tinggi terutamanya kepada pelajar sekolah. Selain itu, ia juga bertujuan untuk peserta lebih mengenali budaya dan melihat sendiri adat dan cara masyarakat Thailand yang terkenal dengan kelembutan dalam berkomunikasi.

Pengarah program, Mohammad Adib Al Hafiz Nasir berkata, selain itu, misi selama tujuh hari itu sangat bermakna dan menyifatkan GISO merupakan salah satu program yang sangat bermanfaat serta berkesan untuk memberi pendedahan kepada pelajar untuk menerokai ilmu baru.

“Melalui GISO, pelbagai aktiviti dan pengisian dapat diadakan bersama pelajar dan masyarakat Islam sepanjang berada di bumi Hat yai, antaranya Bengkel Bicara Braille, di mana pelajar Maahad Fiqhul Islam diberi tunjuk ajar memahami asas tulisan Braille, dan membaca Al quran melaluinya untuk memudahkan proses belajar bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

“Selain itu, kami turut memperkenalkan aktiviti art therapy iaitu untuk menerapkan kesedaran kesihatan mental melalui lukisan dan warna mengikut apa sahaja yang digambarkan bertujuan membantu mereka meluahkan emosi terutamanya dikalangan pelajar sekolah,” katanya.

Adib berkata, program itu diteruskan dengan keep your green iaitu proses penanaman semula tumbuhan yang berwarna hijau di sekitar sekolah yang terpilih dengan melibatkan masyarakat di sekeliling. Ianya simbolik untuk memberi ketenangan dan  memupuk sikap positif kepada pelajar untuk menuntut ilmu.

“setiap aktiviti yang dilakukan semuanya diselitkan dengan kaedah asas psikologi dan kauseling kepada para pelajar dan masyarakat yang didekati kerana itu merupakan salah satu keistimewaan Kelab Pembimbing Rakan Universiti,” katanya.

 

Disediakan oleh:
Siti Hawa Mat Yunan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

2018-03-09T15:00:51+00:00