NILAI, 13 Ogos 2019 – Warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini bergotong-royong menjayakan program Ibadah Korban dan Aqiqah 1440H anjuran Pusat Islam USIM bertempat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz.

Pengarah Pusat Islam, Ustaz Mohammad Aizuddin Abdul Aziz berkata program yang bermula seawal 7.30 dengan aktiviti penyembelihan telah berjalan lancar dan mencapai matlamat penganjurannya.

“Pada tahun ini, sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan dan Pusat Islam mengenal pasti tiga kumpulan penerima sumbangan yang akan diagihkan iaitu sebanyak 1/3 diagihkan kepada peserta, 1/3 kepada asnaf seperti dalam senarai penerima yang direkodkan oleh Pusat Wakaf dan Zakat USIM, selebihnya dihadiahkan dan dijadikan jamuan,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi ibrah bahawa di dalam syariah beragama tidak ada tuntutan lain melaksanakan ibadah melainkan hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah.

“Apabila kita melihat sambutan ibadah korban oleh masyarakat pada hari ini nampak meriah, lebih terbuka dan gembira, namun disebalik itu kita perlu ingat bahawa melaksana ibadah bukan hanya keseronokan semata-mata tetapi untuk mendapat keredaan Allah yang besar ganjarannya,” ucapnya.

Bagi pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad yang turut serta melihat kelainan gerak kerja berlangsung yang lebih tersusun pada tahun ini apabila selesai acara penyembelihan pada jam 9 pagi.

“Saya melihat tahun ini lebih ramai penglibatan dari staf dan pelajar menunjukkan adanya kerjasama yang erat serta kehadiran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada semua peserta untuk menjayakan program ini,” ujarnya.

Manakala Muhammad Danial Akmal Bin Hamdan, pelajar tahun 2 merangkap Setiausaha Agong MPP 2018/2019 berkongsi pengalaman kali pertama menyertai ibadah korban di USIM sesuatu yang menarik kerana dapat mengenali pensyarah lain dan merasai suasana ibadah korban.

“Program sebegini sememangnya mengeratkan lagi hubungan warga USIM dan ia merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan. Melalui program ini, saya dapat melihat cara yang betul untuk aktiviti menyembelih, melapah, sesi timbangan serta proses pengagihan dilakukan. Pada saya, program ini perlu diteruskan untuk memupuk semangat mahabbah dan kesatuan di dalam kampus. Suasana sebegini yang dimahukan, ini kerana ilmu yang diperolehi di dalam kuliah dapat diaplikasikan sendiri melalui pengalaman sebegini,” ujarnya.

Program Ibadah Korban dan Aqiqah ini yang diadakan hampir setiap tahun sentiasa mendapat sambutan baik dalam kalangan kakitangan dan pelajar. Program dijalankan secara bergotong-royong melalui aktiviti melapah daging, memotong, mengagih seterusnya menyiapkan hidangan utama iaitu sup tulang sebagai juadah jamuan dan makan tengah hari untuk dinikmati kira-kira 1,500 kakitangan dan pelajar.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan