NILAI, 7 Oktober 2021 – Graduate School of Muamalat (GSM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menawarkan tajaan sebanyak 50% kepada alumni USIM yang ingin menyambung pengajian di peringkat Sarjana bagi kemasukan bulan Oktober 2021.

Penyelaras program sarjana, Prof. Madya Dr. Ummi Salwa Ahmad Bustamam berkata, tajaan yuran pengajian sebanyak 50% tersebut diberikan kepada alumni USIM yang berkelayakan sebagai salah satu inisiatif untuk menarik minat dan membantu alumni USIM yang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Tawaran penajaan yuran pengajian sebanyak 50% ini juga sebenarnya memberi peluang kepada para pelajar untuk meningkatkan kesarjanaan dan kemahiran mereka agar dapat menambah baik taraf kehidupan mereka di masa hadapan apabila menjadi seorang pekerja profesional kelak,” katanya.

Beliau menambah, peluang untuk menyambung pengajian sarjana di USIM juga turut terbuka kepada orang ramai dan GSM juga telah membuat penstrukturan yuran yang baharu dan lebih berpatutan.

Apa yang lebih menarik lagi ialah beliau turut menyatakan bahawa program yang ditawarkan oleh GSM turut selari dengan Future of Jobs Survey 2020 oleh World Economic Forum, yang menyenaraikan bidang pakar pemasaran dan strategi digital di tangga keempat. Manakala bidang profesional pembangunan perniagaan pada tangga keenam.

Selain itu, dalam keadaan negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19, maka peluang untuk menyambung pengajian ini perlu diambil agar para pelajar dapat memperkukuh nilai tambah dalam diri dan sekaligus mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran landskap pasaran pekerjaan yang pasti berubah pada masa akan datang.

GSM menawarkan lima (5) program di peringkat Sarjana iaitu Sarjana Pentadbiran Muamalat, Sarjana Pentadbiran Muamalat (Produk Halal), Sarjana Perakaunan dan Audit Syariah, Sarjana Perbankan Islam dan Sarjana Kewangan Islam. Calon pelajar yang berminat untuk menyambung pengajian boleh melayari http://gsmuamalat.usim.edu.my/. Program penajaan ini akan diteruskan melalui sumbangan yang diterima menerusi program Tabung Biaya Yuran Pengajian dan boleh diakses menerusi portal Jom Infaq USIM.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

 

2021-10-07T11:10:22+08:00

Share This Story, Choose Your Platform!

Go to Top