NILAI, 9 April 2019- Hari keluarga USIM 2019 disambut meriah selepas 12 tahun penantiannya kali terakhir diadakan pada tahun 2007. Dengan tema hashtag ”Hari Cinta USIM 2019”, program berlangsung di Dataran Selera semalam dengan kehadiran 300 kakitangan USIM menyaksikan juara keseluruhan dimenangi oleh Kesatuan Kakitangan Sokongan (KUSIMA).

Pelbagai acara yang diadakan antaranya sukaneka tarik tali, walking pole, dragon ball, ball in cage, green tunnel, mini amazing race, roller tanker, gubahan bunga, sireh junjung dan gubahan buahan. Program dimulakan dengan acara taichi yang di kendalikan oleh master chi dari Persatuan Tai Chi Huang, Seremban.

Program yang diterajui oleh Badan Kebajikan Kakitangan (BKK)  turut mendapat kerjasama dari Persatuan Kakitangan Akademik (PKA), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS), Kesatuan Kakitangan Sokongan (KUSIMA), Jabatan Keselamatan, Pusat Islam, Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), , Kelab Wardah dan Kelab Setiausaha USIM.

Prof Madya Dr Azman Ab Rahman selaku Pengerusi BKK berkata, Hari Keluarga ini untuk permulaannya fokus kepada warga USIM dahulu untuk menggalakkan semua warga USIM merasai hari keluarga ini kerana selepas 12 tahun tidak diadakan. Walaupun padang basah kerana hujan, namun aktiviti berjalan lancar, kali ini dapat penyertaan untuk majlis yang dibantu oleh Pusat Islam dan Jabatan Keselamatan USIM, manakala acara sukaneka lebih berbentuk teambuilding untuk rapatkan hubungan sesama staf USIM.

Prof Dato Dr Musa Ahmad Naib Canselor USIM, berkata ini merupakan satu permulaan yang sangat baik dengan kehadiran sambutan kakitangan USIM dengan tema hari cinta USIM ini dimana kebersamaan perlu dicipta untuk melahirkan rasa cinta pada USIM dan salah satu cara untuk menjaga kebajikan warga USIM.

”Apabila kita cintakan USIM, Kita akan menggunakan sedaya upaya dengan jiwa raga kita untuk menjadikan USIM terus maju. Bagi yang belum menemui cinta kepada USIM, kita perlu cari ruang dan muhasabah diri untuk cari titik kecintaan itu supaya dapat memberikan perkhidmatan yang baik dan cemerlang”.

”Ini merupakan pra Hari Keluarga USIM, di mana perancangan lepas ini akan perkasakan lebih banyak agenda ke arah kekeluargaan USIM, seperti program disertai pasangan dan anak kakitangan untuk mengenali USIM dengan lebih rapat untuk mereka rasai bahawa mereka adalah sebahagian dari keluarga USIM juga. Program seperti ini sangat penting untuk staf saling mengenali dan merapatkan ukhwah kerana untuk berjaya kita kena cipta kebersamaan dan rasa cinta pada USIM”, tambah Dato Musa.

Wakil dari PKA USIM, Dr Abdul Hafiz Abu Hasan melahirkan rasa seronok kerana acara permainan sangat menarik, kelainan dari permainan yang selalu kita sertai dan yang paling penting semangat dari staf pentadbiran dan akademik menjayakan program ini.

”Hari keluarga yang ditunggu-tunggu, majlis seperti ini dapat lahirkan kecintaan pada USIM kerana penglibatan pelbagai persatuan dari peringkat Pengurusan dan Profesional, akademik mahupun pelaksana tanpa mengira pangkat dapat bersama-sama, dan saya cadangkan dapat diadakan dua tahun sekali untuk terus lebih akrab dan mengeratkan silaturrahim antara warga USIM”, ujar Norazlina Abu Zahar dari wakil KUSIMA yang turut sertai pertandingan gubahan sireh junjung .

Nurliyana Mohamed Razali, wakil PRAGMATIS menyatakan perasaan seronok kerana selepas 12 tahun tidak diadakan kemeriahan tetap dirasai walaupun baru lima tahun berkhidmat di USIM. Diharap dapat diadakan lagi Hari keluarga ini kerana ia mampu wujudkan keakraban, kemesraan dan semangat berpasukan, dari tidak mengenali orang dapat menjadi kawan.  Selain dapat juga melahirkan rasa cinta pada USIM kerana aktiviti kebersamaan di luar, selain laksanakan kerja hakiki sebagai warga USIM.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Prof Dato Dr Musa Ahmad Naib Canselor USIM. Turut hadir Prof Dato Dr Roshada Hashim Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Pendaftar USIM Dato Muhammad Haizuan Rozali, Dr Hayati Ismail Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) dan ahli Pengurusan universiti lain.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032