NILAI, 16 Februari 2019 -ICT Click 2019 program celik IT yang diadakan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 81 orang peserta luar yang terdiri dari pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, mahasiswa/i universiti dan orang awam yang berlangsung 16 Februari lalu.

Penasihat ICT Click 2019, Dr Sakinah Ali Pitchay berkata, program ICT Click ini merupakan program tahunan anjuran pelajar Tahun 2 Program Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), dari Fakulti Sains & Teknologi, USIM dan merupakan kali kelima sejak 2015 diperkenalkan dan sering mendapat sambutan saban tahun, dan berharap sambutan yang berterusan di kalangan pihak sekolah khususnya untuk menggalakkan minat peserta terhadap Sains Komputer seiring dengan revolusi industri keempat yang menekankan pelbagai komponen berasaskan teknologi kepintaran buatan.

”Bengkel Arduino mendapat sambutan dari Sekolah Menengah Kompleks KLIA, Nilai dengan seramai 19 orang peserta diiringi dua guru mereka, disamping 8 orang awam dimana para peserta diperkenalkan komponen Arduino dan dibekalkan Arduino kit bagi memudahkan latihan praktikal”.

”Selain itu, modul kedua turut mendapat sambutan awal dari peserta lepasan SPM dan mahasiswa/i universti luar adalah penyuntingan video, aplikasi perisian photoshop dan Mobilegraphy kerana ia memberi nilai tambah kepada peserta di mana mencipta poster, kain rentang, bunting kini mempunyai pasaran yang tinggi”, tambah Dr Sakinah.

Selain itu turut diberi pendedahan modul Pembangunan Web, modul Microsoft Office seperti penggunaan perisian Words, Excel, Powerpoint, CloudDrive, pertandingan Speed Typing dan Reka Poster si cilik.

Menurut dua ahli Jawatankuasa Pelaksana ICT Click 2019 iaitu Ainul Mardiah Bt Mohd Asri dan Wan Nur Adnin Bt Wan Muhammad Nasir, sekalung penghargaan diucapkan kepada Pengetua dan guru Sains Komputer SMK Kompleks KLIA yang telah membantu dalam menyampaikan hebahan kesedaran Arduino kepada ibu bapa pelajar. Subjek Rekabentuk dan Teknologi bagi pelajar tingkatan 3 memerlukan pelajar menyediakan projek menggunakan Arduino. Dengan ini secara tidak langsung, pelajar tingkatan 1-3 boleh mempelajari Arduino dengan lebih dekat dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari pada masa akan datang.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Ketua Program Keselamatan & Jaminan Maklumat, FST, USIM iaitu Dr Sakinah Ali Pitchay.

 

Disediakan oleh:
Dr Sakinah Ali Pitchay

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032