KANGAR, 12 April – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menghantar sebanyak 2 kumpular pelajar seramai 10 orang yang terdiri daripada gabungan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) ke Pertandingan Business Social Innovation For Poverty Eradication@MyHE.

Sebanyak 8 buah Universiti yang melibatkan 81 orang peserta antaranya dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Melaka (UTeM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Pertandingan yang julung kali diadakan bertempat di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (Unimap) diadakan pada 5 hingga 12 April 2014 lalu menyaksikan USIM berjaya muncul Naib Johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM 2000, Piala dan Sijil Penghargaan manakala Johan menjadi milik Unimap dan Ketiga adalah UMS.

Kumpulan pelajar USIM terdiri daripada Mushirah Zainuddin, Saddiq Iskandar Mazlan, Muhamad Nor Amin Jamaludin, Zafirah Suhailah Abdullah dan Nurul Hafifah Hassan Adli menghasilkan idea projek yang dinamakan ‘Trashilizer’ iaitu penghasilan baja kompos melalui sampah buangan.

Menurut Mushirah Zainudin, melalui kajian lapangan di Kampung RTC Kedah, mereka mendapati masalah ketiadaan kutipan sampah berkala dan tempat pembuangan sampah yang khusus mendatangkan masalah kepada penduduk. Melalui idea penghasilan baja kompos dari sampah, ia akan digunakan sebagai baja bagi penanaman tanaman utama di kampung berkenaan iaitu jagung.

“Apabila diaplikasikan, ia mampu mengurangkan masalah sampah tidak terurus dan ganggunan kesihatan. Selain itu, penduduk kampung juga dapat menjana ekonomi lebih baik kerana kos pembelian baja bagi pokok jagung dapat dikurangkan kerana menggunakan baja kompos dan produktiviti hasil pertanian juga dapat ditingkatkan”

“MyHE memberi pendedahan yang amat baik kepada peserta untuk berkhidmat kepada masyarakat. Setiap kumpulan perlu mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh kampung angkat masing-masing seperti aspek ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sosial. Ia disusuli dengan pembentangan dihadapan panel juri cadangan projek oleh peserta yang boleh diaplikasikan bagi mengatasi masalah yang wujud serta pada masa sama memberi kesan kepada peningkatan kualiti dan taraf hidup” katanya lagi.

MyHE adalah Program anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan, Pengkomersialan dan Pengurusan Harta Intelek Unimap telah memilih beberapa buah kampung sekitar Perlis iaitu Kampung Gial, Kampung Nelayan Kuala Perlis dan Kampung RTC Kedah untuk menjadi lokasi lapangan para peserta. Majlis penyampain hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Prof Madya Dr. Muhd Fo’ad Sakdan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimap.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm