Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz
Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. AzizPensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Umat Islam di negara ini perlu menyokong usaha murni dan berinovasi bagi menubuhkan bank wakaf untuk manfaat ekonomi ummah. Ini kerana banyak manfaat yang bakal dinikmati menerusi pelaksanaan bank yang berasaskan sistem wakaf ini. Bank wakaf merujuk kepada institusi perbankan Islam yang menawarkan produk dan perkhidmatan patuh Shariah kepada golongan yang tiada berkemampuan untuk memperolehinya melalui perbankan Islam komersial semasa.

Penubuhan bank wakaf merupakan satu integrasi atau gabungan di antara sistem perbankan Islam yang sedia ada dengan sistem wakaf yang telah sekian lama diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat RA. Cetusan idea bagi menubuhkan bank wakaf ini lahir melalui inovasi daripada pengintegrasian ilmu naqli dan aqli yang telah dibahaskan oleh sarjana Muslim dahulu dan mutakhir ini. Walaupun penggunaan kedua-dua ilmu naqli dan aqli bagi menghasilkan beberapa hukum telah diaplikasikan oleh ulama’ terdahulu dalam bidang fiqh namun, penubuhan bank wakaf merupakan satu inovasi terkini daripada pengintegrasian kedua-dua ilmu tersebut dalam sistem kewangan Islam. Ini kerana konsep wakaf memang jelas sekali diterangkan melalui ilmu naqli berdasarkan sumber al-Quran dan Hadith Nabi Muhammad SAW.

Manakala, konsep bank lahir melalui ilmu aqli dan jika diselusuri sejarah, peranan bank sebagai institusi pemberi pinjaman wang lahir sejak empayar Roman di mana pada masa itu faedah telah mula dikenakan kepada peminjam. Institusi perbankan menjadi lebih tersusun pada zaman empayar British di mana ia didorong dengan kelahiran konsep “invisible hand” atau tangan yang tersembunyi yang telah diperkenalkan oleh Adam Smith pada tahun 1776.  Di sinilah lahirnya pasaran bebas dan sistem kapitalis yang sehingga kini dipraktikkan di kebanyakan negara maju di dunia. Tentunya banyak kelemahan dan keburukan yang terhidang melalui sistem kapitalis dan pasaran bebas ini. Kelemahan dan kekurangan ini boleh diminimumkan jika usaha yang jitu diambil oleh umat Islam dalam memperkenalkan bank wakaf yang berasaskan sifat tolong-menolong dan membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk sama-sama memperolehi manfaat dan perkhidmatan yang disediakan dalam perbankan Islam komersil semasa.

Tidak dapat dinafikan, perbankan Islam semasa adalah bersifat komersil dan mementingkan keuntungan serta lahir melalui kerangka sistem kapitalis yang tentunya banyak kekurangan berbanding sistem ekonomi Islam. Matlamat yang terlalu mementingkan keuntungan dengan mengetepikan aspek kebajikan kepada golongan yang kurang berkemampuan dan tiada akses kepada sistem perbankan Islam komersil bukanlah satu perkara yang menjadi asas pertimbangan dalam mana-mana konsep muamalat yang diperkenalkan dalam Islam. Sama ada zakat, sadaqah, hibah, wakaf dan seumpamanya, semua konsep-konsep ini diperkenalkan bagi membentuk masyarakat Islam yang dapat saling tolong-menolong dan berihsan sesama meraka. Perkara sebegini mungkin tidak kelihatan dalam perbankan Islam yang bersifat komersil tersebut.

Tambahan lagi, beberapa akad yang diperkenalkan dalam perbankan Islam semasa lebih bersifat “hiyal” atau helah bagi mengharuskan sesuatu akad dan aplikasi yang dahulu tidak dibenarkan dalam muamalat Islam. Bagi mengatasi perkara sebegini maka, perlunya umat Islam sejagat mencari alternatif baru dan tidak hanya terus selesa dengan sistem yang sedia ada. Ini bagi melahirkan institusi kewangan Islam yang lebih bersifat membantu dan memberi kebajikan untuk kemaslahatan ummah melalui penubuhan bank wakaf yang tentunya memiliki banyak manfaat jika dapat dipraktikkan sepenuhnya.

Antara manfaat bank wakaf ialah kemampuannya memberi pembiayaan percuma bukan sahaja kepada para pelajar di pusat pengajian tinggi, malah dapat membantu golongan majoriti lain yang memerlukan dana dan bantuan seperti usahawan kecil dan golongan ibu tunggal. Penubuhan institusi bank wakaf ini dilihat sebagai inovasi baru yang boleh diketengahkan bagi merancakkan dan menyemarakkan manfaat wakaf dalam sistem kewangan sosial Islam yang tidak hanya menumpukan kepada keuntungan semata-mata tetapi yang lebih penting lagi kepada aspek kebajikan dan manfaat untuk masyarakat. Jika ini berlaku, ia mampu untuk membina kekuatan ekonomi ummah terutamanya di negara-negara Islam di seluruh dunia yang masih ketinggalan dalam aspek ekonomi.

Tambahan lagi, golongan pelanggan yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, golongan asnaf, golongan fakir dan miskin mampu dibantu melalui penubuhan bank wakaf ini. Golongan sebeginilah sepatutnya menjadi tumpuan untuk terus dibantu memandangkan golongan inilah yang merupakan golongan majoriti di negara ini dan di negara-negara Islam lain. Sekiranya golongan ini tidak diberi peluang untuk memajukan ekonomi mereka, ini akan mendorong dan membawa kepada masalah dan bala yang besar kepada sesebuah masyarakat dan negara itu. Penawaran pelbagai produk dan pekhidmatan melalui bank wakaf yang lebih murah mampu untuk menjadi realiti memandangkan pendeposit dan pelabur bank ini tidak hanya melihat kepada pulangan berbentuk kebendaan semata-mata malah lebih tertumpu kepada pulangan berbentuk ganjaran pahala yang lebih kekal di akhirat kelak.

Selain itu, manfaat lain yang dapat diperolehi melalui penubuhan bank wakaf ini adalah bagi membantu pihak kerajaan dalam menyelaras skim bantuan yang sedia ada kepada golongan miskin, pelajar, ibu tunggal dan golongan sasar yang lain di mana fungsi memberi bantuan sama ada dalam bentuk pembiayaan percuma atau bayaran pembiayaan dengan kadar yang minimum tidak lagi perlu disediakan oleh kerajaan. Ini kerana bank wakaf tersebut mampu untuk menggantikan fungsi yang telah dimainkan oleh kerajaan. Ini boleh memberi impak yang besar kepada negara dalam memperolehi baget lebihan atau “surplus budget” di mana pihak kerajaan tidak perlu lagi memperuntukkan dana khusus untuk membantu golongan terbabit.

Dapat disimpulkan bahawa penubuhan bank wakaf ini lahir melalui inovasi daripada pengintegrasian ilmu naqli dan aqli yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Idea ini dianggap menarik dan mempunyai potensi besar untuk dilaksanakan pada masa hadapan dengan kerjasama dan dokongan semua pihak terutama orang Islam dan pihak yang berkepentingan. Semua pihak yang terbabit perlu mengembeleng idea dan tenaga dalam usaha untuk menjadikan penubuhan bank wakaf  ini satu realiti di negara ini di mana ia membuka ruang untuk orang Islam yang kaya untuk terus berinfaq dan golongan yang kurang kemampuan untuk terus menerima bantuan yang sewajarnya. Oleh itu, kemajuan dan kesejahteraan ekonomi ummah akan terus terjamin dan dapat dikekalkan.