Nor Asiah Yaakub
Nor Asiah YaakubPensyarah Fakulti Ekonomi dan Mualamat

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan. Ramadan bulan yang istimewa dan penuh rahmat. Di Malaysia khususnya, Bulan Ramadan amat sinonim dengan bazar Ramadan yang mungkin menjadi pilihan kebanyakan ibu bapa yang bekerja, golongan bujang atau pelajar institusi pengajian tinggi.

Terikat dengan masa, peraturan yang tidak membenarkan memasak di asrama dan juga menganggap tidak berbaloi untuk memasak hanya seorang makan menjadi alasan-alasan standard untuk membeli juadah berbuka. Bagi saya pula, walaupun hanya empat orang ahli keluarga yang berpuasa daripada lima ahli keluarga, adalah agak mustahil untuk menyediakan paling kurang lima menu setiap hari dalam masa kurang sejam, ditambah lagi dengan kemungkinan anak yang paling kecil minta dibelai setelah seharian dengan pengasuh, sudah pasti gantung kuali dan menapak ke bazar Ramadan.

Di bazar Ramadan, seperti yang semua maklum, seumpama berada di pesta makanan yang penuh dengan pelbagai makanan dan minuman yang menguja selera. Dalam keadaan perut kosong dan tekak kehausan, kalau diikutkan nafsu semuanya hendak dibeli. Namun, tepuk dada tanya iman. Ingat-ingat juga duit di dalam beg tangan atau kocek seluar.

Bagi peniaga pula, pelbagai strategi digunakan untuk melariskan produk mereka. Tidak salah kerana mereka sedang mencari rezeki. Namun kita sebagai pembeli juga harus bijak dalam berbelanja, agar tiada pembaziran wang mahupun makanan.

Terdapat beberapa tips yang boleh dikongsi di sini untuk pengunjung tegar bazar Ramadan. Pertamanya, sebelum keluar rumah, rancang terlebih dahulu apa yang hendak dibeli. Nampak macam kritikal, tapi sebenarnya santai sahaja. Minta anak-anak fikirkan satu menu makanan atau satu menu minuman sahaja bagi setiap orang. Setkan di dalam minda, hari lain masih ada bazar Ramadan dan boleh membeli pelbagai juadah lain.

Keduanya, jika menu yang dipilih adalah sama, minta mereka kongsi sahaja. Nafsu sebelum berbuka memang besar, tapi merundum bila sudah mulai menjamah sedikit juadah. Yang ketiga, elakkan dari terpengaruh dengan tawaran penjual yang menjual 4 biji kuih dengan harga RM 2 serta air 3 bungkus untuk RM 5. Anda perlu membuat keputusan bijak. Sebagai contoh untuk kuih RM 2, anda boleh campur-campurkan beberapa kuih untuk mempelbagaikan menu atau sekadar membeli dua biji sahaja.

Terdapat sesetengah peniaga mengenakan harga sedikit tinggi jika membeli dalam kuantiti kurang dari 4, itu tidak mengapa. Anda sebagai pembeli tidak rugi walaupun terpaksa membayar RM0.60 sen untuk sepotong kuih berbanding RM 2 untuk 4 potong kuih. Malah anda juga tidak membazir, kerana anda membayar untuk kuantiti yang diingini dan pastinya tiada makanan yang akan dibuang. Kenapa perlu bayar RM 2 sedangkan kuih yang dimakan hanya dua biji sahaja? Setkan juga di dalam minda, membeli setakat keperluan dan bukannya membeli untuk mendapatkan harga purata yang rendah.

Tips yang seterusnya mungkin kedengaran agak kedekut sedikit. Anda perlu tetapkan bajet untuk ke bazar Ramadan untuk setiap hari. Seboleh-bolehnya bawa duit secukupnya sahaja. Ini kerana, di bazar Ramadan urusniaga adalah secara tunai. Jika wang di tangan sudah habis dibelanja, maka itu isyaratnya perbelanjaan anda pada hari tersebut sudah maksima dan anda tidak boleh berbelanja lagi. Pastikan belanjawan anda tidak tiris dan letakkan di dalam minda, jangan usik peruntukan hari esok. Malah, ada yang lagi penting, persediaan raya juga memerlukan peruntukan yang besar.

Tips-tips yang disarankan bukan sahaja sesuai untuk mereka yang berkeluarga , malah praktikal bagi mereka dalam golongan bujang dengan pelajar. Bagi golongan ini, antara cara lain untuk elakkan pembaziran adalah lebih baik berbuka puasa bersama-sama dengan rakan. Selain mengeratkan silaturrahim anda juga boleh bertukar-tukar juadah. Pada masa yang sama, ia mengingatkan diri bahawa dalam kita meraikan ibadah berpuasa, kita juga harus mengamalkan sikap bersederhana dalam semua hal. Sentiasa letakkan iman di dada, agar kita tidak melakukan pembaziran.

Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-Isra: 27). Perkataan bazar sangat dekat dengan ‘Bazarra’, istilah Arab yang bermaksud membazir. “Ingat bazar, ingat untuk tidak membazir”. Selamat berpuasa untuk Muslimin dan Muslimat.