Dr Nik Suhaida Nik Abdul Majid
Dr Nik Suhaida Nik Abdul MajidPensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Secara terjemahan literal, da‘wah ini dapat difahami dengan banyak perkataan lain antaranya seperti menyeru, mengajak, memanggil, menjemput, meminta pertolongan, beribadat dan lain-lain lagi. Perkataan da‘wah ini juga telah dipinjam dari bahasa Arab dan dijadikan sebagai bahasa Melayu dengan ejaan ‘dakwah’. Kamus Dewan (2010) telah mendefinisikan perkataan dakwah sebagai ‘kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan’ dan secara bahasa percakapan (bp) perkataan ini dirujuk dengan maksud penyebaran ajaran agama Islam.
Manakala jika merujuk dari Al-Quran, perkataan da‘wah mempunyai tafsiran khusus yang bermaksud membawa manusia kepada Allah (rujuk surah al-Māidah: 67, al-Naḥl: 125, al-Qaṣaṣ: 87 dan ‘Āli-Imrān: 104 & 110). Justeru, para ulama memperbahaskan ayat-ayat tersebut dengan mengambil penjelasan hadis sehingga da‘wah itu dihukumkan dalam dua bentuk iaitu fardu ain dan fardu kifayah.

Ringkasnya, sebagaimana Ab Aziz Mohd. Zin (1997) menyimpulkan bahawa da‘wah adalah fardu ain yang mengikut kemampuan masing-masing. Ianya terdiri dari dua elemen utama iaitu usaha dan pengajaran. Usaha tersebut adalah seruan yang terancang iaitu mempunyai metodologi (manhāj) yang bersesuaian dari aspek gaya pendekatan (uslūb) dan medium penyampaian (wasīlah) dalam mendepani pelbagai kumpulan manusia (mad‘u). Manakala pengajaran pula adalah syariat Islam itu sendiri yang bukan hanya menumpukan aspek ilmu wahyu atau masyhur dengan istilah ‘ilmu agama’ bahkan seluruh ilmu yang bermanfaat kepada kehidupan manusia di dunia ini.

Maka jelas bahawa da‘wah merupakan satu tuntutan ke atas setiap individu muslim yang memiliki syarat yang cukup sebagai mukallaf. Ini kerana Allah telah memberi satu pangkat besar kepada manusia iaitu sebagai khalifah. Maka tugas utama sebagai khalifah ini adalah mentaati segala perintah Allah dan memastikan dunia ini makmur dengan kehidupan manusia yang dipandu dengan tauhid (surah al-Baqarah: 30). Bagi memastikan tugasan tersebut dapat dilaksankan, manusia memikul amanah yang sangat berat iaitu da’wah. Maka atas sebab itulah para nabi diutuskan untuk menjadi rujukan kepada setiap generasi manusia dalam memakmurkan alam ini dengan tanggungjawab berdakwah.
Persoalannya, mengapa bumi ini perlu dimakmurkan dengan da‘wah dan mengapa Allah menjadikan da‘wah adalah tanggungjawab kepada manusia? Sedangkan Allah mampu sahaja memberikan petunjuk dan hidayah kepada semua manusia yang diciptakannya untuk terus tunduk dan taat kepadanya.

Benar, Allah itu maha mampu untuk semua itu. Tetapi paradigma yang perlu ada di dalam dasar pemikiran setiap muslim adalah, penciptaan manusia di atas muka bumi ini adalah satu bentuk ujian bagi melayakkan manusia itu diberi kebahagiaan abadi atau penyeksaan abadi di dunia satu lagi yang dinamakan sebagai akhirat. Watak utama yang diciptakan sebagai pemberat kepada ujian ini adalah iblis dan syaitan yang menguasai manusia melalui godaan jahat yang teramat dahsyat ke dalam hati manusia bagi memastikan tingkah laku manusia ini terpesong dari wahyu Allah. Mereka telah disytiharkan sebagai musuh yang nyata bagi manusia selama-lamanya (surah al-Baqarah: 208).

Oleh kerana itu, masalah tingkahlaku manusia tidak akan pernah tamat. Keruntuhan ketamadunan dan peradaban, kemiskinan nilai kemanusiaan serta sifat ‘kebinatangan’ yang kita saksikan pada masyarakat hari ini adalah bukti jelas penjajahan sifat iblis dan syaitan dalam diri manusia.

Masyarakat sedang tandus kasih sayang, hidup dalam tekanan materialistik sehingga menjadi individualistik. Manusia sedang gila dalam meraih perhatian murahan, berlumba tanpa matlamat yang jelas hingga saling cantas mencantas, tindas menindas dan buli membuli yang akhirnya menjadikan jiwa yang mati dan depresi.

Walaubagaimanapun, manusia itu telah dibekalkan dengan fitrah sunnatullah yang menjadikan mereka merasakan keperluan hidup bertuhan dan telah ditiupkan fitrah tentang kewujudan dan keesaan Allah (rujuk surah al-Rūm: 30, al-Zukhruf: 87, al-A‘rāf: 172). Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah juga merekodkan bahawa setiap kelahiran itu adalah dilahirkan secara fitrah iaitu dengan maksud sudah beriman kepada Allah (al-Bukhari, 2004, no hadis: 1385). Demikianlah lazimnya, waktu yang paling manusia sangat mencari tuhan adalah bila mana mereka sedang dalam keadaan yang paling derita dan duka.

Allah juga sengaja menciptakan manusia ini dengan kepelbagaian perbezaan agar manusia berusaha untuk saling menyempurnakan antara satu sama lain dan bukan untuk saling menandingi. Sebab itu orang yang dilahirkan dalam keluarga yang tidak mengenali Islam, mereka berhak diberi penerangan tentang Islam. Malah orang yang sudah Islam pula mereka perlu sentiasa mendapat bimbingan, teguran dan nasihat supaya sentiasa berada pada jalan yang benar. Justeru, atas hal yang sedemikian lah maka fungsi da‘wah itu dijadikan tanggungjawab supaya manusia merasa saling kasih mengasihi antara sesama mereka dengan berpesan-pesan demi kebenaran agar kesemua dari mereka mendapat keselamatan dari kemurkaan Allah. Orang yang melaksanankan tanggungjawab inilah dikenali dengan tugasan sebagai pendakwah (dā‘i (kata nama tunggal) du‘āt (kata nama majmuk)).

Tetapi, da‘wah itu tidak boleh sama sekali dilakukan hanya dengan adanya rasa tanggungjawab tersebut. Intipati utama dalam menggerakkan usaha itu adalah dengan ilmu. Ilmu dalam konteks da‘wah ini pula terbahagi kepada dua dimensi utama. Dimensi pertama adalah ilmu sebagai bekal dan hujah kepada para pendakwah iaitu Islam itu sendiri yang mengandungi ilmu fundemental berasaskan wahyu dari Quran dan Hadith dan juga ilmu alat. Ilmu fundemental adalah mengenai Islam yang terbahagi kepada dua cabang utama iaitu Usuluddin dan Syariah. Manakala ilmu alat pula adalah ilmu yang berkaitan tatacara dan kaedah memahami ilmu fundemental tersebut melalui pelbagai cabang yang melibatkan pelbagai disiplin antaranya ilmu bahasa dan komunikasi, perbandingan agama, ‘ulūm Quran, ‘ulūm Hadith, usul fiqh dan juga ilmu berkenaan teori menyampaikan da‘wah.

Dimensi kedua adalah ilmu memahami tingkahlaku manusia dalam konteks kehidupan realiti mereka atau secara akademik, disiplin ilmu ini dikenali dengan istilah antropologi-sosiologi dan psikologi. Ilmu sosial dan kemanusiaan ini sangat signifikan untuk dikuasai kerana dengan memahami kondisi sebenar mad’u, barulah da’wah itu dapat diberikan dengan efektif umpama doktor perubatan yang perlu mengenalpasti penyakit pesakitnya terlebih dahulu agar ubat yang diberikan adalah betul dan berkesan (Abdul Karim Zaidan, 2000). Tidak terbatas kepada dua disiplin ini, bahkan para pendakwah perlu memiliki ilmu kemahiran insaniah ‘soft-skill’ yang lain iaitu yang bermanfaat untuk urusan kehidupan di dunia ini.

Sungguhpun segala keperluan ilmu tersebut dapat dikuasai dengan baik, jangan dirasa tanggungjawab sudah tertunai. Jangan dirasa diri sudah sempurna mahupun sudah hebat. Kerana hakikat keberkesanan ilmu dari da‘wah yang disampaikan adalah bertitik tolak dari nilai akhlak yang dipamerkan. Akhlak adalah kayu ukur kepada kesemua amalan kerana itulah kemuncak kepada ilmu. Akhlak juga mempunyai dua dimensi iaitu berakhlak pada sang khāliq iaitu Allah tuhan yang menciptakan segalanya dan berakhlak kepada sesama manusia dan segala isi alam yang merupakan makhluk yang diciptakan. Mengurus akhlak adalah antara cabaran setiap manusia kerana sering kali sahaja kita ini manusia akan terjerumus kepada ‘cakap tidak serupa bikin’. Kerana itu Allah juga murka kepada orang yang mengatakan apa yang mereka tidak lakukan (Surah al-Ṣaf: 3). Istilah ‘pendakwah mi segera’ atau ‘pendakwah selebriti’ dengan konotasi maksud yang negatif misalnya, kadangkala bukanlah kerana cetek ilmunya, akan tetapi itulah sifat hati yakni qalb yang sentiasa berbolak balik, kekuatan iman yang dalam keadaan naik dan turun menepis segala godaan makhluk ghaib dan fitnah dunia yang bermacam ragam. Persiapan ilmu perlu dipakejkan dengan persiapan akhlak. Ilmu yang tidak melahirkan akhlak yang mulia adalah ilmu yang batil.

Justeru, dā‘i juga dalam pada masa yang sama adalah mad‘u sebenarnya. Serta bukanlah pendakwah itu nama rasmi bagi mereka yang berlatar belakang pengajian Islam sahaja. Akan tetapi kelebihan mereka yang dari bidang tersebut mampu memahami sumber wahyu dengan lebih mendalam untuk memberi penerangan. Bagi mereka di bidang disiplin ilmu yang lain, mereka juga adalah dā‘i sekiranya mereka menjalankan tanggungjawab mengajak manusia kepada Allah dengan bidang kemahiran dan kepakaran masing-masing. Yang jelas, tugas berdakwah perlu dipikul oleh semua secara kolektif berganding bahu dalam saling berpesan dan ingat mengingati.

Akhir kalam, da‘wah adalah tanggungjawab kita semua sebagai muslim dengan berasaskan ilmu yang benar dan dipamerkan dengan akhlak yang menjadi tauladan. Allahu ta’ala a‘lam.

Artikel ini telah diterbitkan di In Other Words. Layari http://fkp.usim.edu.my/articles/