Dr. Zul Azlin bin Razali
Dr. Zul Azlin bin RazaliPensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Perlahan-lahan dia datang. Tetap dan pasti seperti tahun-tahun yang lalu. Dalam saki-baki kebingitan pasca PRU14 dan pembentukan kerajaan baharu, langkahnya tenang tidak berbunyi. Dia tidak akan gagal menemui kita. Dalam keterujaan manusia melihat setiap pagi seolah-olah lebih indah daripada biasa kerana berlakunya perubahan yang bernama harapan, kita tidak perasan ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku.

Dalam semua keghairahan itu, kita lupa Ramadan sedang menapak hari demi hari. Hari-hari yang kemudiannya akan berkumpul menjadi sebulan dan akhirnya kita merindu semula.

Sudah tentu nasihat dan peringatan itu banyak sekali. Memperbanyakkan bacaan Al-Quran, meringankan tangan-tangan untuk menghulur, mengosongkan kantung-kantung untuk bersedekah, pendekkan tidur malamnya untuk rakaat-rakaat yang sudah lama dirindukan, menahan diri daripada menjadikan pesta bazar sebagai pentas tari pembaziran dan bermacam pesanan lain.

Namun disebabkan kekerapan nasihat itu, pengulangan demi pengulangan di media sana sini dan tentunya sifat manusia itu sendiri yang jarang ambil berat sesuatu yang terlalu biasa, pesanan-pesanan baik ini hanya berlalu pantas secepat berlalunya bau-bau daging kambing bakar yang terpamer di bazar saban hari. Mungkin manusia itu sendiri perlu dijentik rasionalnya lantas mindanya baru lawas untuk menerima pesanan-pesanan kewahyuan ini. Selalu begitu, kepercayaan seorang pak turut tidak seteguh keimanan seorang yang berfikir.

Jadi, apa rasionalnya? Artikel ini menghidangkan dua-tiga juadah akademik mudah-mudahan menyorong minda kita berfikir alangkah hebatnya perlakuan baik tetapi mudah dan ringkas.

Perlakuan itu adalah senyum. Ya memang mudah, tapi ia jarang berlaku sesama bukan kenalan. Sainsnya begini: riak muka dan ekspresi muka mampu membangkitkan mood atau perasaan tertentu. Yang sebaliknya kita sudah sedia maklum, kalau anda gembira, otot-otot muka akan berkerja untuk menzahirkan paras seorang yang senang hati, ya istilahnya ‘senyum’. Yang kita cuba angkat di sini adalah begini:  (sekali lagi saya sebutkan) riak muka yang dibuat tanpa sebab-sebab tertentu boleh menerbitkan perasaan yang berkaitan. Teori ini disebut Facial Feedback Hypothesis.

Otot utama yang diperintahkan untuk menimbulkan sebuah senyuman adalah zygomaticus major (ZM). Manakala otot obicularis oris (OO) pula, jika ia bekerja, akan menghalang ZM bertindak; maksudnya anda tidak akan senyum. Dua fakta mudah ini dimanipulasi oleh sekumpulan bijak pandai German (Fritz Strack et al) lama dahulu demi mengkaji benarkah Facial Feedback Hypothesis ini.

Fritz Strack menggunakan lebih 90 pelajar sebagai responden. Responden ini terbahagi kepada dua:  1) Kumpulan A: memegang pensel dengan gigi. 2) Kumpulan B: memegang pensel dengan bibir.

Tenang. Memang bunyi agak ganjil pada mulanya malah responden tidak diberitahu tujuan sebenar kajian itu. Namun mereka dikehendaki untuk membuat penilaian terhadap beberapa keratan kartun sambil memegang pensil dengan cara yang disebutkan di atas i.e jika Kumpulan A, dengan gigi. Keputusannya amat menarik. Kumpulan A menilaikan kartun-kartun tersebut lebih kelakar berbanding Kumpulan B. Perlu diingatkan, 90 orang pelajar ini tidak mempunyai perbezaan ketara di antara satu sama lain dari segi demografinya. Tambahan pula, pembahagian Kumpulan A dan B ini dilakukan secara rawak.

Kebijakan pengkaji terletaknya di sini, jika anda pegang pensel dengan gigi (i.e gigit), anda sebenarnya sedang membiarkan otot ZM bekerja, i.e seolah-olah anda senyum. Jika pensel dipegang dengan bibir sahaja, maka otot OO sedang bertindak, anda seperti memuncungkan mulut. (Adakah bersih pensil yang anda masukkan ke mulut itu? Hati-hati kita berpuasa).

Kesimpulannya, apabila daging-daging Zygomaticus Major ini dipaksa bekerja, perasaan positif mudah timbul (i.e lawak jadi lebih kelakar). Sekurang-kurangnya itu yang ditemui oleh orang-orang Bavaria ini.

Kemudian Maziyar Molavi dan Jasmy Yunus dari UTM pula seperti memberitahu kita sesuatu yang penting: Puasa mempengaruhi mood seseorang. Lebih menarik, kajian sofistikated mereka ini menunjukkan manusia lebih mudah mengesan riak muka yang positif ketika berpuasa berbanding ketika tidak berpuasa. Ya, mereka melakukan kajian perbandingan pada orang yang sama sebelum dan ketika berpuasa dalam bulan Ramadan.

Rupanya senyum itu terkait dengan perkara lain kita panggil empati. Empati adalah daya dan keupayaan untuk memahami dan menyelami perasaan dan situasi orang lain. Empati adalah komponen penting dalam pembentukan masyarakat yang aman dan harmoni. Bunyi seperti rumit dan melibatkan kemahiran berfikir aras tinggi, bukan? Tidak semestinya wahai pembaca bijaksana sekalian. Empati boleh dipecahkan kepada struktur perbuatan yang paling kecil dan ringkas. Seperti senyum.

Teori Mirror-neuron system adalah asas kepada tindakan kita meniru (secara tidak sengaja atau luar kawalan) perbuatan orang lain. Kita mudah senyum jika orang lain senyum. Kita mudah marah jika suasana umum ketika itu sedang ‘panas’. Asas ini bersifat biologi, seperti yang dibuktikan oleh Iacoboni et al (1999) dan Rizzolatti et al (2004). Ahli-ahli sains kaji otak ini percaya bahawa bahagian inferior frontal gyrus (IFG) dan inferior parietal lobule (IPL) yang terkurung dalam tempurung kepala kita ini berperanan besar dalam mengikat hubungan sosial melalui sifat empati.

Senyum pada ahli keluarga itu cukup mudah. Tidak juga perlu terlalu memaksa jika senyum kepada rakan sekerja. Bagaimana pula pada bukan kenalan? Mungkin masih lagi mudah jika senyum untuk yang Muslim atau sebangsa. Kita jangan berselindung pada hakikat bahawa ia adalah cabaran sebenarnya untuk melemparkan senyuman ikhlas buat saudara manusia yang tidak dikenali dan berlainan agama, berbeza bangsa, tanpa mengharapkan reaksi balasan yang sama. Ini yang perlu dilatih.

Artikel ini hanya membawa satu wacana yang sangat mudah. Dek kerana terlalu mudah, kita manusia memandang enteng walhal ia sebenarnya mendefinisikan kita sebagai manusia sosial itu sendiri. Hati-hati apabila sudah tenggelam dengan keasyikan ibadah ritual di bulan mulia ini maka kita terperangkap dengan isu-isu akhlak yang remeh. Dek terdesak untuk dapatkan saf hadapan atau ruang letak kereta yang selesa di masjid, kita tidak memikirkan pemandu lain atau undang-undang lalu lintas. Sekecil mana pun ia akan membenihkan gaya personaliti yang lebih teras dan tegar tidak terubahkan. Ketika antagonis-antagonis bernama syaitan itu dibelenggu, inilah masanya kita memasang kekuda dan membuka gelanggang berlatih tanpa gangguan untuk memurnikan sikap dan sifat yang selama ini kita sendiri mual dan menyampah.

Sama-sama kita berdoa sebelum berbuka nanti agar Malaysia yang baharu ini menghamparkan peluang saksama untuk semua lebih maju dan suasana yang lebih harmoni untuk semua berinteraksi. Senyumlah dan amalkan berdoa sebelum berbuka puasa kerana ia waktu yang mustajab untuk berdoa.

Rujukan 

1) Strack, F., Martin, L. L., & Stepper, S. (1988). Inhibiting and facilitating conditions of the human smile: a nonobtrusive test of the facial feedback hypothesis. Journal of personality and social psychology, 54(5), 768.

2) Molavi, M., Yunus, J., & Utama, N. P. (2016). The effect of Ramadan fasting on spatial attention through emotional stimuli. Psychology research and behavior management, 9, 105.

3) Iacoboni, M., Woods, R. P., Brass, M., Bekkering, H., Mazziotta, J. C., & Rizzolatti, G. (1999). Cortical mechanisms of human imitation. Science, 286(5449), 2526-2528.

4) Rizzolatti, G., & Craighero, L. (2004). The mirror-neuron system. Annual Review Neuroscience., 27, 169-192.