Dr. Ummi Salwa Ahmad Bustamam
Dr. Ummi Salwa Ahmad BustamamPensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Minggu ini merupakan minggu pertama bagi fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan di Malaysia. Sebenarnya bukan hanya rakyat Malaysia yang melalui PKP malahan hampir 3.9 bilion penduduk dunia dilarang keluar rumah akibat COVID-19. Pada fasa kedua PKP ini, rata-rata rakyat Malaysia semakin prihatin dengan keperluan untuk berada di rumah seperti yang diperintahkan oleh pihak berwajib bagi mengawal dan mengelakkan penularan virus corona daripada tersebar luas. Sewaktu PKP ini dijalankan, rakyat perlu berada 24 jam di dalam rumah dan hanya ketua keluarga dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan harian selain pihak yang menjadi barisan hadapan (frontliner) dan mereka yang menyediakan perkhidmatan keperluan (essential services).

Sepanjang tempoh PKP berlangsung, kebanyakan aktiviti harian dan rutin yang dilakukan pada waktu normal agak sukar untuk dilaksanakan. Hal ini disebabkan oleh sumber-sumber yang terhad. Namun begitu, tempoh PKP ini perlu dihadapi secara positif bagi memastikan setiap ahli keluarga tenang dan sabar dalam mendepaninya. Memiliki sikap berkeusahawanan bukan cuma untuk berniaga, malahan kreatif, inovatif, mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar diri dalam kelangsungan hidup dengan sumber yang terhad juga adalah sikap berkeusahawanan yang boleh dipupuk. Ironinya, pada waktu PKP ini muncul pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh ahli keluarga secara lebih kreatif dan inovatif.

Bagi kaum bapa, sewaktu tempoh PKP ini dijalankan, tanggungjawab yang perlu digalas semakin mencabar. Sebelum ini, sang bapa keluar untuk mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaubagaimanapun, semasa PKP dilaksanakan semua ahli keluarga perlu berada di rumah. Di sinilah bapa perlu memainkan peranan penting sebagai ketua keluarga. Anak-anak akan bergantung kepada bapa untuk mengisi masa mereka di rumah. Di sinilah bapa boleh memupuk ciri-ciri berkeusahawanan kepada anak-anak. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah mengajak anak-anak membina alat permainan menggunakan bahan yang terdapat di rumah. Antara bahan paling mudah dan praktikal adalah menggunakan kotak-kotak dan botol-botol terpakai serta pakaian lama yang sudah tidak boleh digunakan untuk dijadikan alat permainan. Di samping itu, bapa bersama anak-anak juga boleh menggunakan imaginasi dan kreativiti mereka untuk menghasilkan sesuatu yang boleh digunakan sebagai alat pembelajaran di rumah. Di sinilah karaktor bapa sebagai ketua dalam rumah tangga perlu ditonjolkan secara bijak. Justeru anak-anak tidaklah cuma mengharapkan televisyen, gajet elektronik atau komputer bagi mengisi masa sepanjang tempoh PKP di rumah.

Manakala bagi para ibu pula, mereka mula meneroka menu-menu istimewa berdasarkan sumber bahan makanan yang mudah diperoleh dan mungkin terhad. Bagi mereka yang mempunyai kebun kecil di halaman rumah, pasti berasa bersyukur dengan aktiviti berkebun yang dijalankan sebelum ini. Namun begitu, kepada yang belum bermula berkebun, apa kata anda mulakan sekarang? Salah satu cara paling mudah adalah menanam sayur secara hidroponik menggunakan bahan sedia ada di rumah seperti bekas dan botol terpakai. Banyak video demonstrasi membuat set hidroponik secara DIY boleh ditonton di saluran YouTube. Selain itu, golongan ibu juga boleh mengajak anak-anak untuk bersama-sama ke dapur bagi menyediakan santapan bagi ahli keluarga. Secara tidak langsung, sikap suka mencuba boleh diterapkan dalam diri anak sejak kecil.

Kerajaan mengharapkan kerjasama setiap rakyat untuk berada di rumah dan mengurangkan kontak dengan orang luar. Perkara ini sangat penting supaya rangkaian virus korona ini dapat diputuskan. Justeru, setiap ahli keluarga perlu berganding bahu bagi memastikan wabak ini dapat berakhir secepat mungkin dan kita semua dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa. Ayuh, hadapi PKP dengan positif. Ambil kesempatan dan peluang yang ada ini untuk memupuk sikap berkeusahawanan ahli keluarga!