Dr. Norfadhilah Mohamad Ali
Dr. Norfadhilah Mohamad Ali Timbalan Dekan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang

Covid-19 telah membawa perubahan yang besar dalam sistem perindustrian dan perniagaan global. Semenjak perisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengkategorikan virus ini sebagai pandemik, banyak negara telah menganggap virus ini sebagai satu ancaman keselamatan negara dan telah mengambil tindakan drastik bagi membendung penularannya. Antara tindakan yang telah diambil ialah penetapan tempoh pergerakan terkawal pelbagai peringkat yang sudah tentu menjejaskan prestasi ekonomi perniagaan-perniagaan tempatan dan asing. Terdapat juga beberapa negara yang bertindak dengan lebih drastik mengambil alih atau memilik-negarakan hospital swasta seperti yang berlaku di Sepanyol,  menghadkan jumlah eksport topeng muka perubatan seperti di Perancis, dan juga bahan-bahan bekalan perubatan kritikal dan alat bantuan pernafasan seperti di Itali dan Taiwan.

Kesan Covid-19 ini dijangka berpanjangan dan akan menyebabkan pengenalan polisi-polisi jangka panjang seperti pemberian bantuan atau insentif  kepada industri atau sektor tertentu terutamanya industri tempatan. Walaubagaimanapun, Malaysia sebagaimana negara-negara lain yang menjadi negara anggota ribuan perjanjian pelaburan antarabangsa (international investment agreement) samada secara dua hala (bilateral) atau selainnya, perlu berhati-hati dalam menetapkan kaedah kawalan, perundangan atau pemberian insentif tertentu supaya tidak menyebabkan pertikaian antarabangsa yang boleh dikemukakan oleh pelabur asing melalui perjanjian-perjanjian tersebut.

Sehingga tahun 2019, sebanyak 2658 perjanjian pelaburan antarabangsa telah termeterai dan berkuatkuasa. Perjanjian-perjanjian ini menggariskan beberapa obligasi penting bagi memastikan negara anggota memberi perlindungan-perlindungan  asas (standard protections) kepada pelabur luar termasuklah jaminan pembayaran pampasan bagi rampasan (expropriation), layanan yang saksama dan adil (fair and equitable treatment), jaminan penuh perlindungan dan keselamatan (full protection and security) dan jaminan layanan tanpa diskriminasi samada sesama pelabur asing atau pelabur asing dengan pelabur tempatan. Sungguhpun perjanjian-perjanjian ini mempunyai terma yang membebankan negara anggota untuk memenuhinya, namun ia dianggap perlu oleh kebanyakan negara-negara membangun sebagai sumber dana pelaburan asing ke dalam negara dan memberi imej daya tarik pelaburan yang baik untuk pembangunan ekonomi negara.

Namun demikian, kes-kes yang telah dikemukakan di timbangtara antarabangsa telah menunjukkan kesan dan akibat pelanggaran yang perlu ditanggung oleh negara anggota. Terdapat tribunal yang menetapkan gantirugi sehingga mencecah ribuan million dolar kerana pelanggaran obligasi, seperti yang berlaku dalam tuntutan yang dibuat oleh syarikat Tethyan Copper terhadap Pakistan akibat penarikan lesen perlombongan emas dan tembaga di negara tersebut. Tribunal-tribunal ini telah dikritik terutama dari sudut kaedah penetapan gantirugi yang seolah-olah membuka ruang pengayaan tidakberpatutan (unjust enrichment) kepada pelabur asing. Ia juga menjadi polemik antarabangsa kerana keunikan pihak-pihak dalam tuntutan ini yang melibatkan pelabur antarabangsa, berbeza dengan kelaziman undang-undang antarabangsa yang melibatkan negara bangsa sahaja. Justeru sifat hibrid ini telah menyebabkan pertembungan undang-undang yang melibatkan kepentingan negara dengan undang-undang komersan hasil dari kontrak-kontrak yang telah ditandatangani.  Ia menjadi dilema kepada negara anggota terutama dalam menetapkan peraturan atau undang-undang baharu untuk keperluan negara dan dalam masa yang sama tidak menjejaskan obligasi pelaburan antarabangsa. Para pengamal undang-undang pelaburan antarabangsa sudah mula membahaskan samada Covid-19 ini akan menyebabkan kes-kes baharu menjelang tahun 2021.

Secara asasnya, setiap negara mempunyai hak dan tanggung jawab untuk melindungi kesihatan awam dan ekonominya.  Kita berasa lega kerana terdapat beberapa ketetapan dalam undang-undang antarabangsa yang mengecualikan gantirugi bagi  mana-mana tindakan negara anggota yang menyebabkan kekangan penggunaan  (deprivation of use and enjoyment) harta pelabur asing, jika ia bertujuan memelihara kesejahteraan awam, kesihatan atau moral. Namun negara anggota perlu membuktikan bahawa ia dilaksanakan dengan suci hati (bona fide) dan tidak berniat mengenakan mana-mana pelabur asing secara sengaja. Ia juga tertakluk secara khusus kepada sifat dan tujuan sesuatu tindakan itu diambil.

Satu contoh yang boleh dirujuk ialah pengalaman Uruguay dalam timbangtara antarabangsa Phillips Morris v Uruguay. Dalam kes tersebut, Uruguay telah dicabar kerana memperkenalkan undang-undang baharu yang menghadkan penjualan rokok kepada satu produk dan mensyaratkan pembesaran imej bahaya rokok sehingga 80% pada kotak rokok, yang menjejaskan keuntungan penjualan dan menghadkan ruang kepada pelabur asing memaparkan hak tanda dagangan mereka. Tribunal berpandangan bahawa peraturan tersebut adalah perlu bagi melindungi kesihatan awam, sekaligus menolak tuntutan pelabur antarabangsa dalam timbangtara tersebut.  Perbincangan lain yang seumpamanya boleh dilihat dalam tribunal Methanex v USA  dan Chemtura v Canada yang melibatkan alam sekitar dan kesihatan, dan tuntutan-tuntutan terhadap Argentina yang menyandarkan matawang kepada peso sebagai langkah keselamatan negara berikutan krisis ekonomi 2001.

Walaubagaimanapun, kita harus ingat bahawa semua penghujahan ini adalah dalam bentuk penghujahan balas oleh negara anggota (state defence) dan memerlukan keupayaan penghujahan yang tinggi. Tambahan pula, keputusan tribunal dalam kes-kes terdahulu adalah tidak mengikat mana-mana tribunal yang lain atau yang ditubuhkan selepasnya.  Justeru adalah penting bagi kerajaan dalam menetapkan apa-apa peraturan baharu berkaitan Covid-19 ini, memastikan peraturan tersebut adalah munasabah, berpatutan, bona fide, tiada unsur diskriminasi, dan mengikut saluran proses perundangan (due process of law). Ini adalah untuk mengelakkan masalah yang tidak diingini dalam timbangtara antarabangsa yang melibatkan wang negara.

Secara umumnya, masih banyak yang perlu diperbaiki dalam landskap undang-undang pelaburan antarabangsa terutamanya dalam memastikan suara negara-negara membangun didengari. Bagi pemeteraian perjanjian pelaburan antarabangsa baharu atau dalam perundingan semula perjanjian  lama, adalah disarankan supaya dimasukkan dengan jelas klausa yang mengecualikan perlindungan pelaburan antarabangsa dalam hal-hal keselamatan dan kesihatan awam sebagaimana yang terdapat dalam amalan beberapa negara lain.  Ia penting sebagai perlindungan tambahan yang boleh dirujuk oleh negara kita jika berhadapan dengan situasi sebegini.