Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff
Prof. Dr. Adnan Mohamed YusoffTimbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Penemuan longgokan bahan hiasan mengandungi ayat suci al-Quran terbuang di Kawasan pelupusan sampah haram seperti yang dilaporkan oleh pihak media baru-baru ini bukanlah kejadian pertama dilaporkan berlaku. Kejadian seperti ini berlaku lantaran sikap ambil mudah pihak tidak bertanggungjawab bagi melepaskan diri dari terbeban dengan bahan-bahan berkenaan yang tidak mahu digunakan lagi sama ada di rumah, stor atau premis atas berbagai faktor seperti rosak, susut nilai, susun atur baharu melibatkan tempat penyimpanan dan sebagainya. Ditambah pula dengan kekurangan ilmu pengetahuan pihak-pihak terlibat, serta nipisnya nilai sensitiviti terhadap hukum dan adab beragama maka berlakulah pembuangan atau pelupusan bahan-bahan ini seperti bahan-bahan terbuang lain.

Persoalan ini telah menggamit perbahasan para ulama sejak sekian lama. Justeru, berbagai rujukan dan sumber merakamkan pandangan, fatwa serta panduan, diberikan mengenai tata cara pelupusan mushaf, buku atau bahan-bahan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran. Dalam konteks Malaysia, fatwa mengenai tata cara pelupusan ini telah dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak tahun 1992 lagi. Keputusan ini kemudiannya disusuli oleh kebanyakan institusi fatwa negeri yang telah menerima fatwa ini dengan sedikit penyesuaian dan penyelarasan bagi memudahkan pelaksanaannya mengikut situasi serta kondisi negeri masing-masing. Lebih dari itu, kesalahan mengurus dan mengelola bahan-bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran al-Karim dengan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan selaras dengan fatwa ini dikira sebagai satu kesalahan jenayah di bawah Akta Percetakan Teks Al-Quran dan Enakmen Jenayah Syariah Negeri seperti di Negeri Sembilan. Dengan kata lain, pihak yang tidak mematuhi fatwa serta garis panduan yang ditetapkan telah menyalahi akta dan enakman yang diterima pakai serta boleh didakwa dan dihukum mengikut undang-undang berkaitan.

Dari sudut hukum, para ulama menggariskan beberapa kaedah bagi melupuskan teks atau bahan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran al-Karim seperti membakar, menanam, membasuh, mencarik dan tidak ketinggalan juga dengan menggunakan kaedah berteknologi hijau yang dikenali sebagai deinking. Walau bagaimanapun, setiap kaedah ini perlu dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama di setiap negeri. Ketelitian dan ketertiban dalam melaksanakan proses pelupusan mengikut kaedah-kaedah yang disarankan ini adalah demi untuk memelihara kesucian serta kehormatan Kitab Suci al-Quran sebaga kalamullah. Penekanan bukan hanya kepada proses, bahkan juga kepada orang yang melaksanakan setiap proses berkenaan hendaklah seorang muslim dan sentiasa berada dalam keadaan suci dari hadas besar dan kecil sepanjang melaksanakan tugasan tersebut. Begitu juga dengan tempat dan persekitaran hendaklah sesuai dengan mematuhi semua keperluan yang ditetapkan sejajar dengan adab berinteraksi dengan Kitab ini seperti yang disarankan oleh para ulama sejak sekian lama.

Ringkasnya, dalam konteks sekarang proses pelupusan teks serta bahan mengandungi ayat-ayat suci al-Quran diuruskan oleh pihak berautoriti serta institusi yang diberi kebenaran untuk menguruskannya dengan kawalan oleh pihak berkuasa. Dalam hal ini, individu, syarikat, institusi dan lain-lain yang mempunyai bahan untuk dilupuskan boleh berhubung dengan pihak berkenaan untuk melakukan proses pelupusan seperti yang digariskan. Kecuaian, kegagalan atau keengganan untuk berbuat demikian sehingga membawa kepada keberadaan bahan tersebut di tempat yang tidak sesuai atau bercampur dengan bahan lain dalam keadaan yang menjatuhkan kemuliaan atau mencalar kesuciannya adalah satu kesalahn yang bukan sahaja boleh dihukum malah boleh mengundang rasa tidak puas hati atau marah masyarakat Islam kepada pihak pelaku. Hal ini seperti sedia maklum akan menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat. Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan majoriti penduduknya adalah penganut Islam yang prihatin terhadap isu-isu agama, kejadian membuang, melonggok atau membiarkan bahan-bahan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran di tempat-tempat yang boleh disifatkan sebagai satu penghinaan kepada Kitab ini, jika tidak dibendung sangat berpotensi untuk mencetuskan kemarahan dan kekecohan dalam masyarakat.

Pihak berautoriti serta institusi yang menguruskan perkara ini sentiasa meningkatkan kualiti dan kapasiti perkhidmatan mereka supaya dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Walau bagaimanapun, adalah tidak dinafikan bahawa masih banyak peluang penambahbaikan boleh dilakukan bagi menyekat kejadian seperti yang dilaporkan daripada terus berleluasa. Proses pelupusan ini berpotensi untuk diusahakan sebagai sebuah industri yang menjana pendapatan atau keuntungan. Sumbangan dana bagi meningkatkan keupayaan institusi sedia ada untuk melaksanakan proses pelupusan secara lebih pantas, efisien, selamat dan jimat tenaga perlu dilihat sebagai sebuah pelaburan jangka panjang ke arah kemakmuran negara. Penerokaan kaedah baharu melalui aktiviti penyelidikan dan penerapan konsep kitar semula patuh syariah perlu digiatkan bagi memastikan proses pelupusan yang mesra alam, lestari dan anti pemanasan global perlu dipergiatkan. Sebagai seorang muslim yang yakin dengan kebesaran dan kemukjizatan Kitab Suci al-Quran, usaha ini pasti akan membuka ruang kebaikan dan keberkatan kepada kesejahteraan dan kemakmuran hidup, sama ada dalam bentuk spiritual mahupun material. Kita yakin dengan dengan berkhidmat kepada pemeliharaan kalamullah selain dari beriman dan beramal dengan kandungannya, Allah SWT akan membuka pintu-pintu kebaikan, kesejahteraan, kebahagian dan kemakmuran yang kadang-kadang tidak terjangka atau terjangkau oleh akal manusia biasa.