Kebebasan Wanita mengikut perspektif Islam telah dibincangkan di dalam novel Faridah Hanom yang merupakan novel pertama Malaysia. Ia ditulis oleh tokoh reformasi Islam Sayyed Syeikh al-Hadi. Beliau menggarapkan mesej kebebasan wanita sebagai tema novelnya. Mesej ini disampaikan kepada masyarakat sebagai satu kritikan terhadap budaya kehidupan tradisi yang kurang memberi hak kepada wanita. Tempat mereka hanyalah di rumah dan di rumah suami sahaja. Begitu juga jodoh mereka ditetapkan oleh keluarga. Antara hak kebebasan wanita yang dibawa ialah kebebasan pendidikan, kebebasan keluar rumah dan kebebasan memilih pasangan hidup.
Kebebasan pendidikan digambarkan melalui watak wanita Faridah Hanom yang merupakan seorang wanita terpelajar dan mempunyai pengetahuan yang tinggi serta penguasaan bahasa asing yang baik, iaitu bahasa Perancis. Surat menyurat antara beliau dan kekasihnya ditulis dalam bahasa Perancis supaya rahsia mereka tidak diketahui oleh orang lain. Pendidikan ini dapat membina keutuhan dan jati diri. Beliau mampu menguruskan dirinya dalam menghadapi cabaran kehidupan semasa. Beliau mampu berdepan dengan halangan yang merintanggi perjalanan hidupnya terutama semasa bercinta dengan kekasihnya. Beliau sentiasa menjaga maruah diri dan nama baik keluarga. Semasa keluar bersiar-siar dengan kekasihnya, khadam turut dibawa bagi menemani dan bersamanya untuk mengelak daripada berlaku fitnah.
Pengetahuan ini juga membolehkan beliau memilih pasangan hidup yang sesuai. Mereka berdua merupakan pasangan hidup yang secucuk dan masing-masing memelihara maruah diri dan keluarga. Hubungan percintaan mereka berdua terhalang dengan sebab bapa Faridah Hanom menerima lamaran sepupunya tanpa bertanyakan pandangan anaknya. Walaupun terpaksan berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya, namun beliau tetap menghormati dan mematuhi keputusan bapanya dan berpindah ke rumah suaminya.
Dengan kematangan pemikiran yang dimiliki, beliau membuat keputusan memohon fasakh daripada mahkamah syariah dengan sebab suaminya tidak bertanggung jawab dan mengabaikan kewajipan terhadap isteri. Selepas berusaha, beliau diberi haknya dan kembali kepangkuan keluarganya. Dengan kebebasan yang diperolehinya, beliau menyambung semula hubungan percintaaan dengan bekas kekasihnya. Selepas perundingan yang dilakukan antara kedua keluarga, beliau mendapat haknya berkahwin dengan kekasihnya dan menjalani kehidupan dengan penuh kebahagiaan.
Tema ini digarapkan kepada masyarakat untuk mengubah tradisi budaya kehidupan ketika itu yang kurang memberi hak kepada wanita terutama pendidikan, keluar rumah dan memilih pasangan sendiri. Hasil yang berlaku sekarang ini, wanita mendapat haknya dalam pendidikan sehingga ke luar negara. Begitu juga mereka bebas keluar rumah untuk kerjaya dan menjalankan rutin harian. Ada antara mereka yang memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran. Perkara yang jelas terdapat perubahan dalam masyarakat ialah wanita mempunyai hak memilih pasangan sendiri. Pada hari ini, kita dapat lihat ibu bapa memberi kepercayaan dan kebebasan sepenuhnya kepada anak perempuan mereka memilih pasangan hidup dan di mana mereka hendak menjalankan kehidupan seterusnya.