Muslim itu adalah bersaudara dan situasi ini digambarkan ibarat sebuah bangunan yang saling sokong-menyokong. Penzahiran kepada konsep persaudaraan bukanlah dalam bentuk pertolongan dari segi tenaga semata-mata, tetapi Islam juga mengajar umatnya supaya saling tolong-menolong dalam bentuk wang dan harta benda. Bantuan seumpama ini bukan kerana mahukan sesuatu daripada manusia tetapi kerana mahukan keredaan Allah SWT. Oleh itu Islam mengiktiraf zakat, wakaf, infaq, hibah dan sebagainya, Melaluinya umat Islam akan berkongsi harta kekayaannya dengan orang lain dan juga mendapat keredaan Allah SWT. Organisasi seperti Universiti Awam (UA), jaminan kelestarian kewangannya tidak boleh bergantung semata-mata dengan yuran pengajian dan dana kerajaan, malah peranan zakat, wakaf dan sebagainya sangat penting kerana ia menjamin satu bentuk kelestarian kewangan yang lebih konsisten dan kekal tanpa melibatkan situasi ekonomi semasa.
Justeru, Universiti Sains Islam (USIM) telah meletakkan Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM sebagai salah sebuah Pusat Tanggungjawab (PTj) yang terlibat secara langsung di bawah teras kelestarian kewangan USIM. Secara asasnya PWZ berfungsi mengurus segala keperluan berkaitan zakat, wakaf, infaq dan endowmen di USIM. Sebagai agen zakat yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), PWZ berperanan sebagai Amil untuk mengutip zakat daripada kakitangan dan alumni USIM serta badan korporat melalui agihan semula untuk diagihkan kepada asnaf zakat dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan USIM. Selain daripada itu, PWZ juga merupakan agen wakaf yang telah diberikan hak sebagai mutawalli oleh MAINS untuk mengurus segala aset dan projek wakaf USIM. Bagi infaq dan endowmen, PWZ berperanan sebagai agen menerima sumbangan infaq dan endowmen bagi disalurkan kepada warga USIM dalam pelbagai bentuk projek dan aktiviti.
Sehingga hari ini PWZ telah berjaya menyumbang kepada pelbagai program diperingkat Universiti di bawah dana Fi Sabilillah selain rutin biasa iaitu agihan zakat kepada pelajar dan kakitangan asnaf yang terpilih. Bagi memastikan penglibatan PWZ dalam kelestarian kewangan Universiti, PWZ telah mewujudkan kepelbagaian bentuk sumbangan yang diberi terutamanya yang melibatkan kebajikan pendidikan para pelajar USIM.
Sebagai contoh, di bawah Projek Kecemerlangan Asnaf, PWZ telah berjaya menaja biasiswa yang diberi nama Anugerah Biasiswa Barakah (ABB) buat pelajar USIM dalam kalangan asnaf yang cemerlang akademik. Setiap tahun, seramai 9 orang pelajar asnaf cemerlang mewakili 9 buah fakulti di USIM akan dipilih untuk menjadi penerima ABB. Selain itu, PWZ juga mengurniakan Anugerah Daya Cemerlang kepada graduan cemerlang yang juga dalam kalangan asnaf pada Majlis Konvokesyen USIM setiap tahun. PWZ juga sudah menyediakan perancangan untuk berkolaborasi dengan beberapa badan korporat bagi mewujudkan beberapa lagi projek biasiswa sebagai memberi peluang kepada pelajar asnaf USIM meneruskan pengajian tanpa kekangan kewangan.
Melalui dana wakaf pula, PWZ telah berjaya mewujudkan sebuah Klinik Pakar Kesihatan dan Klinik Pakar Pergigian serta Pusat Hemodialisis yang bertujuan memberikan perkhidmatan secara percuma kepada golongan asnaf dan pada kadar berpatutan kepada masyarakat setempat termasuk kakitangan dan pelajar USIM. Selain itu, PWZ juga telah menyumbang mesin penapis air secara percuma kepada beberapa PTj dan Fakulti di USIM melalui dana wakaf ini. Tidak lupa juga, beberapa projek lain berskala kecil seperti sumbangan lab-coat dan Al-Quran tafsir percuma kepada pelajar tahun 1 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) yang telah banyak memberi impak positif kepada perkembangan akademik dan kebajikan warga USIM serta masyarakat setempat.
Manakala bagi projek infaq pula, PWZ telah berjaya mewujudkan program It’am Muhtajin (food for needy), Petrol Percuma, Top-up percuma dan lain-lain lagi yang bersifat kebajikan bagi meringankan beban warga USIM dan sebahagian kecil masyarakat setempat. Terbaharu, PWZ dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM telah berjaya menghasilkan sebuah portal pendanaan awam atau dikenali sebagai crowdfunding yang telah dilancarkan dan dirasmikan pada 2 Oktober 2020 oleh Yang Berhormat Senator Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri. Portal hasil cetusan idea Naib Canselor USIM sendiri yang diberi nama JOM INFAQ ini merupakan antara yang terawal dibangunkan oleh universiti awam di Malaysia. Portal ini menyediakan satu platform pendanaan awam bagi memudahkan masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada projek-projek kebajikan USIM demi menjadikan USIM sebagai sebuah Universiti yang berprestij dengan kemudahan-kemudahan pendidikan bertaraf dunia tanpa bergantung kepada dana kerajaan semata-mata. Portal JOM INFAQ ini dilihat bakal menjadi satu projek berimpak tinggi USIM satu hari nanti.
PWZ sentiasa komited dan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan setiap sen wang zakat, wakaf dan infaq yang disumbang oleh staf, alumni dan badan korporat serta orang ramai kepada USIM melalui PWZ tidak sia-sia. Telah banyak yang disalurkan untuk program-program kecemerlangan akademik dalam dan luar USIM selain agihan zakat seperti biasa. Selain menjamin kelestarian kewangan Universiti, usaha ini dilihat sebagai titik tolak kepada menaikkan imej USIM di mata masyarakat luar melalui pelbagai program-program kecemerlangan akademik, libatsama masyarakat dan lain-lain yang berkaitan.
PWZ bukan hanya sebuah PTj yang menjalankan rutin harian mengutip dan mengagih zakat, tetapi peranan PWZ sangat besar dalam memastikan USIM terus cemerlang dalam bidang akademik, pembangunan sahsiah serta berdaya saing dengan dana kewangan yang lestari. Melalui dana zakat, wakaf, infaq dan endowmen, PWZ mampu menjadikan USIM setanding universiti-universiti terkemuka dunia yang rata-rata bergerak dengan dana sumbangan alumni dan orang awam demi kecemerlangan akademik anak bangsa. Semoga kejayaan demi kejayaan PWZ akan membawa USIM ke satu tahap tertinggi di mata masyarakat Malaysia khasnya dan dunia amnya.