Dr. Noornajihan Jaafar
Dr. Noornajihan JaafarPensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Islam sebuah agama yang syumul menyentuh setiap aspek kehidupan manusia seperti politik, ekonomi dan sosial. Turut tidak ketinggalan aspek pendidikan. Aspek pendidikan penting dalam membangunkan unsur kemanusiaan yang terdiri daripada aqal, jasad, hati, nafsu dan roh. Unsur-unsur kemanusiaan ini kemudiannya berupaya diposisikan sesuai dengan tujuan penciptaanya sebagai `abid (hamba) dan khalifah di muka bumi ini dengan sistem pendidikan yang dilalui oleh seseorang individu itu.

Matlamat pendidikan dalam Islam adalah untuk mencapai perwujudan diri (kesempurnaan kendiri) yang meletakkan kesempurnaan roh bukannya jasad (Ibn Khaldun1993; al-Ghazali t.th.). Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Fajr, 89: 27-30 yang berbunyi:

Maksudnya: Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya (27) Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) (28) Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia (29) Dan masuklah ke dalam SyurgaKu (30).

Walaupun kesempurnaan kendiri itu dilihat pada sudut kesempurnaan jiwa, namun pendidikan dalam Islam tidak mengabaikan keperluan manusia di dunia seperti makan, pakai dan tempat tinggal. Segala keperluan ini harus dilengkapkan bagi memperoleh jiwa yang mutmainnah (al-Ghazali t.th.; Ibn Khaldun 1993; Muhammad Qutub 1982). Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Qasas, 28: 77 yang berbunyi:

Maksudnya: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah s.w.t. kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan mu) dari dunia.

Ibn Khaldun (1993) menyatakan bahawa kehebatan tamadun Islam 1432 tahun yang lepas dalam menangani kejahilan di kalangan masyarakat Arab jahiliyyah, telah menyaksikan kehebatan Nabi Muhammad s.a.w. membentuk umat Islam dari kalangan para sahabat r.a. Ketika itu, Nabi s.a.w. telah berupaya dengan izin Allah s.w.t. mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya sehingga melahirkan satu generasi yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa sehingga mendapat pengiktirafan dari Allah s.w.t. sebagai khair al-ummah. Hal ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran, 3:110 yang berbunyi:

Maksudnya: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia. Suruhlah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran dan beriman kepada Allah s.w.t.

Nabi Muhammad s.a.w. antara guru terhebat dalam lembaran sejarah Islam. Kesan pengajaran dan dakwah baginda terbukti telah dapat membentuk generasi yang bertakwa. Dengan itu, sejak awal Islam hingga ke hari kiamat, Rasu1ullah s.a.w. menjadi model utama di dalam dunia pendidikan (Abd al-Fattah ‘Abd Ghuddah 2001; Razali Saaran 2010; dan Said Hawa 1990).

Dalam kaedah mendidik anak-anak, salah satu cara yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah kaedah rotan (AAbdullah Nasih Alwan 1974). Kaedah ini diekstrak daripada Hadis Nabi s.a.w. tentang kewajipan ibu-bapa mengajar anak-anak akan ibadat solat. Nabi s.a.w. bersabda:

مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين، واضربوهم عليها وهم أبناء عشر سنين، وفرقوا بينهم في المضاجع

Maksudnya: Suruhlah anak-anakmu bersolat ketika mana mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mengerjakan solat) ketika mana mereka berumur 10 tahun dan pisahkan tempat tidur antara mereka (iaitu anak lelaki dan perempuan).

(HR Abu Daud: 495)

Hadis ini menunjukkan bahawa ibadat solat merupakan ibadat yang asas dalam kehidupan manusia sebagai seorang muslim. Ibadat solat diumpamakan sebagai tiang agama, yang mana sekiranya ibadat ini gagal dilaksanakan dengan sempurna, maka seolah-olah ia telah meruntuhkan agamanya (Al- Azim Abadi 1995).

Selain itu, hadis ini juga menunjukkan bahawa dalam aspek pendidikan, kaedah rotan adalah dibenarkan. Hukuman rotan boleh dilaksanakan atas dasar untuk mendidik dan merupakan pilihan terakhir. Hukuman dengan cara merotan ini tidak boleh dilaksanakan pada kali pertama kesalahan anak atau murid. Setiap kesalahan itu haruslah terlebih dahulu dijelaskan kedudukannya. Kemudian, penekanan kepada tindakan atau tingkah laku yang betul perlu diberikan. Peluang untuk memperbaiki kesalahan juga perlu diberi. Pendekatan untuk menggunakan rotan ini dapat diambil daripada hadis Nabi s.a.w. yang disebut di atas tadi. Tempoh tiga tahun ditetapkan dalam hadis tadi sebagai tempoh tarbiyyah atau tempoh mendidik bagi ibadat solat (Abdullah Nasih Alwan 1974).

Selain itu, konsep tadarruj iaitu mendidik secara berperingkat-peringkat juga dapat diekstrak daripada pemahaman hadis ini. Anak-anak perlulah diajari dan disuruh untuk mengerjakan solat bermula umur tujuh tahun. Perkataan مروا yang menunjukkanfi`il amr lil istimrar iaitu perkataan suruhan yang berterusan menunjukkan bermula umur anak tujuh tahun, ibu bapa perlulah mengajari dan menyuruh anak untuk bersolat secara istiqamah. Ibu-bapa perlu mengambil berat hal ini sehinggalah anak tersebut berumur 10 tahun. Sekiranya, sehingga umur tersebut anak tidak mengerjakan solat secara sengaja, maka hukuman rotan boleh dikenakan (Abdullah Nasih Alwan 1974).

Peringkat umur tujuh tahun pula menunjukkan peringkat umur mumayyiz secara umum, iaitu seseorang anak itu telah tahu membezakan antara baik dan buruk. Maka, hadis ini juga menunjukkan bahawa pada peringkat umur mumaiyiz inilah, anak mula diajar tentang hukum hakam dan kewajipan mereka sebagai muslim. Ini sebagai persediaan bagi anak tersebut menjelang peringkat baligh mereka nanti. Peringkat baligh merupakan peringkat di mana seseorang itu telah masuk dalam kalangan golongan yang mukalaf iaitu golongan yang dipertanggungjawabkan atas sesuatu kewajipan agama (Hidayatullah Ahmad 1987).

Dalam pada melaksanakan hukuman rotan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh ibu-bapa atau para guru. Antaranya ialah, meletakkan niat sebelum merotan itu, untuk mendidik jiwa anak tersebut dan bukannya untuk menghukum fizikal yang melakukan kesalahan. Dengan ini ia dapat mengelakkan ibu-bapa atau guru daripada merotan mengikut hawa nafsu sehingga cedera (Noornajihan Jaafar 2005).

Selain itu, hukuman ini perlulah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Pada peringkat awal hukuman dari aspek emosi boleh dilakukan, seperti mengasingkan anak atau murid tersebut daripada rakan-rakannya. Sekiranya cara ini tidak berkesan, barulah ibu-bapa atau guru menggunakan hukuman fizikal. Namun, Abdullah Nasih Alwan (1974)menegaskan bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sekiranya ingin melaksanakan hukuman fizikal, seperti:

  1. Hukuman rotan tersebut hendaklah merupakan alternatif terakhir, setelah cara-cara didikan lain digunakan.
  2. Elakkan merotan ketika sedang marah. Hendaklah ibu-bapa atau para guru menenangkan diri seketika  sebelum mengambil tindakan untuk merotan.
  3. Elakkan merotan pada anggota badan yang sensitif seperti kepala, wajah dan dada.
  4. Hendaklah rotan pada kali pertama itu perlahan, dan meningkat kekuatannya pada bilangan yang berikutnya.
  5. Sekiranya rotan pada kali pertama tidak memberikan kesan kepada tingkah laku anak atau murid, bolehlah ditambah bilangannya
  6. Hendaklah ibu-bapa atau guru itu sendiri yang merotan dan tidak mewakilkan hukuman tersebut kepada anak atau murid yang lain.
  7. Elakkan merotan lebih daripada 10 kali, bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w.

لا يجلد فوق عشر جلدات إلا في حد من حدود الله

Maksudnya: Jangan merotan lebih daripada 10 kali sebatan kecuali pada hukum hudud.

(HR Bukhari: 6456)