Tahun baru 2023 sudah pun bermula. Semua tempat kerja sama ada di sektor awam ataupun di sektor swasta kini sedang sibuk merangka sasaran kerja untuk dipenuhi sepanjang tahun 2023 ini. Dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ditambah lagi dengan keadaan inflasi serta penularan virus Covid-19 yang masih berlaku pada ketika ini, sasaran kerja yang hendak dirangka kelak perlu mengambil kira faktor keadaan sekeliling yang berlaku pada masa kini. Terdapat pelbagai kaedah yang digunapakai oleh pihak majikan untuk merangka sasaran kerja ditempat kerja mereka. Antara kaedah yang selalu digunakan adalah melalui Petunjuk Prestasi Utama atau lebih dikenali sebagai Key Performance Indicator (KPI). Petunjuk Prestasi Utama atau lebih dikenali sebagai Key Performance Indicator (KPI) adalah satu kaedah pengukuran yang mudah, berkesan dan dapat membantu pihak majikan dan sesebuah organisasi menilai tahap kemajuan pekerjaan dan perkhidmatan yang ingin disampaikan ditempat kerja. Pengunaan KPI adalah penting pada masa kini. Banyak organisasi baik di sektor awam mahupun di sektor swasta dalam negara kita sudah pun mula mengamalkan pengunaan KPI berkenaan dalam merangka perjalanan rancangan, aktiviti serta program yang ingin dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Secara umumnya penggunaan KPI dalam pengukuran prestasi sesebuah organisasi dapat difokuskan kepada tiga perkara utama iaitu menjelaskan hala tuju sesebuah organisasi, memberi tumpuan terhadap bidang – bidang utama serta menilai tahap prestasi yang telah disasarkan. Proses penambahbaikan juga dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan dengan adanya KPI ini. Walaupun penggunaan KPI dilihat dapat membantu perjalanan sesebuah organisasi dalam merangka segala bentuk aktiviti dan program yang dirancangkan, KPI berkenaan haruslah dirangka dengan professional dan bijak mengikut realiti dan kesesuaian sesebuah organisasi yang terlibat. Dalam kata mudah, KPI terbabit perlulah realistik atau berpijak dibumi yang nyata. Tidak dapat dinafikan setiap organisasi mempunyai objektif serta matlamat yang berbeza. Jika KPI yang dirangka tidak menepati keadaan atau suasana organisasi ia dikuatiri akan melahirkan persekitaran pekerjaan yang dipenuhi tekanan atau stress serta tidak harmoni.
Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum sesebuah organisasi merangka sesebuah KPI seperti dengan mengambil kira faktor jumlah tenaga pekerja serta pakar yang dimiliki oleh mereka dan mengambil kira faktor dana kewangan yang ada oleh pihak organisasi yang terlibat. Kesemua faktor yang dinyatakan berkenaan adalah penting untuk diambil kira oleh pihak pengurusan sebelum merangka sesebuah KPI untuk dilaksanakan setiap tahun. Sesebuah organisasi tidak boleh meniru bulat – bulat KPI dari organisasi yang lain untuk dilaksanakan ditempat kerja mereka kerana perbezaan faktor – faktor seperti yang telah dinyatakan di atas. Selain daripada itu, KPI yang hendak dirangka perlu juga mengambil kira faktor usia pekerja. Setiap pekerja yang ada dalam sesebuah organisasi tidak sepatutnya diberi KPI yang sama untuk dipenuhi oleh mereka. KPI yang berlainan dan bersesuaian perlu diberikan kepada pekerja muda dan pekerja yang sudah berusia. Semakin seseorang pekerja itu meningkat usia, tidak semua jenis tugasan sesuai untuk dilakukan sama seperti di zaman muda mereka kerana faktor kekurangan kekuatan tenaga serta masalah kesihatan yang selalunya dihadapi oleh pekerja yang sudah meningkat usia ini. Oleh yang demikian, penting supaya KPI dapat dirangka mengikut kumpulan usia pekerja yang berusia antara 18 tahun sehingga 39 tahun, 40 tahun sehingga 59 tahun dan 60 tahun ke atas. Setiap pekerja harus diberi KPI yang berlainan untuk dipenuhi oleh mereka mengikut kumpulan usia mereka.
Sebarang perlaksanaan KPI yang tidak realistik dan tidak bersesuaian dengan usia pekerja perlu dielakkan kerana ia akan menyebabkan kewujudan tekanan atau masalah stres dikalangan para pekerja organisasi yang terlibat. Jika tiada langkah proaktif atau pencegahan diambil diperingkat awal bagi mengatasi masalah tekanan atau stres yang berlaku berkenaan, pelbagai kesan atau impak negatif yang boleh berlaku terutamanya dari sudut kesihatan pekerja seperti darah tinggi, kemurungan, tekanan perasaan, masalah jantung, serta kematian. Tekanan dan stres yang berlaku juga boleh menjejaskan kehidupan peribadi pekerja yang terlibat. Tekanan dan stres yang berlaku juga boleh menjejaskan produktiviti seseorang individu itu serta memberi impak terhadap produktiviti dan reputasi organisasi yang terlibat.
Dalam mewujudkan sebuah tempat kerja yang harmoni serta kurang stres atau tekanan, adalah penting untuk semua pihak yang berkaitan terutamanya pihak majikan dan pekerja itu sendiri untuk saling bekerjasama dan faham memahami antara satu sama lain. Dengan wujudnya sebuah tempat kerja yang harmoni serta kurang tekanan ataupun stress, ia dapat menjamin kesihatan serta keselamatan semua pihak ditempat kerja. Jika kesihatan dan keselamatan seseorang pekerja itu terjamin fokus dapat diberikan terhadap sesuatu jenis pekerjaan sekaligus dapat meningkatkan tahap produktiviti organisasi atau tempat kerja yang terlibat yang terlibat. Tidak dapat dielakkan terdapat pelbagai isu yang boleh memberi tekanan dalam penghidupan harian semua pihak termasuk golongan pekerja pada masa kini dan ini termasuklah keadaan ekonomi semasa, isu kos sara hidup, dan penularan virus Covid-19 yang banyak memberi impak kepada kehidupan setiap orang termasuklah pada para pekerja.
Oleh yang demikian, adalah penting bagi semua pihak yang berkaitan memberi kerjasama bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi dengan merangka langkah atau strategi berkesan yang boleh mengurangkan tekanan di tempat kerja serta mewujudkan sebuah tempat kerja yang lebih harmoni mengikut peruntukan undang – undang buruh yang ada dalam Malaysia. Adalah penting juga pihak majikan merangka KPI yang lebih realistik sesuai dengan keadaan tempat kerja masing – masing serta sesuai dengan usia pekerja mereka. Budaya tolerensi, kerjasama serta sifat saling faham memahami antara satu sama lain diantara majikan dan pekerja adalah amat penting bagi mewujudkan sebuah persekitaran tempat kerja yang harmoni serta kurang tekanan atau stres.