Dr. Siti Suriani Othman
Dr. Siti Suriani OthmanPensyarah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Dr. Habibah Ismail
Dr. Habibah IsmailPensyarah, Fakulti Pengajian Bahasa Utama

Bulan lepas jiwa umat Islam digegarkan dengan tindakan seorang ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar kitab suci al-Quran sebanyak dua kali di Stockhlom. Tindakan ini dilakukan kerana Turkiye membantah penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Bagi umat Islam, Paludan ini bukanlah individu yang ‘asing’ dengan kontroversi. Sejak 2017, dia telah mula mendapat perhatian kerana tindakan anti-Islamnya yang dimuat turun dalam media sosial dengan tujuan meningkatkan sokongan terhadapnya dalam pilihan raya. Tidak hairan, pada 2020 dia berdepan dengan hukuman penjara kerana didapati bersalah atas 14 pertuduhan berkaitan perkauman dan fitnah.

Tindakannya kali ini pastinya mengundang lebih banyak kemarahan dan kekecewaan bukan hanya dalam kalangan umat Islam tetapi dari seluruh dunia. Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson sendiri mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini. Di Malaysia, perhimpunan aman dilakukan di Kedutaan Sweden di Malaysia dan nota bantahan dihantar, kempen boikot produk Sweden disaran serta 1 juta naskhah Quran diedar seluruh Malaysia sebagai tindak balas kepada penghinaan ini.

Kejadian seperti inilah natijah daripada apa yang kita ketahui sebagai Islamofobia. Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu, Islamophobia merujuk kepada ketakutan, perjudis dan kebencian kepada muslim. Hakikatnya, ketakutan terhadap Islam dan Muslim bukanlah perkara baharu sungguhpun menjadi perdebatan dan perbualan di Barat hanya pada tahun 1990-an. Apatah lagi, setelah kejadian 9/11, begitu banyak prejudis dialami oleh golongan minoriti Islam di Barat yang menunjukkan Islamofobia semakin menular. Maka tidak hairan dan dalam masa yang sama diraikan oleh umat Islam sebagai satu bentuk kemenangan, pada 15 Mac tahun lepas, OIC dan United Nations (UN) mengangkat tarikh 15 Mac setiap tahun sebagai tarikh melawan Islamofobia.

 Begitu sekali tindakan UN, bermakna isu ketakutan terhadap Islam dan Muslim bukan dilihat sebagai perkara kecil di peringkat antarabangsa. Ini juga bermakna, kita semua perlu lebih berhati-hati dengan Islamofobia itu sendiri kerana kita tidak nampak sentimen kebencian yang dibawa. Tiada siapa boleh nampak ‘benci’, ‘fitnah’ mahupun ‘hasutan’. Seperti ramainya kita ketakutan kerana penyakit seperti COVID 19,mkita perlu lebih takut kepada Islamofobia atau perasaan membenci antara satu sama lain kerana fizikalnya yang tidak wujud dan tidak dapat dikesan oleh mana-mana alatan saintifik waimah mikroskop sekalipun.

Maka, bagaimana harus kita menangani Islamofobia dalam persekitaran dunia global hari ini? Jelas kita lihat sendiri antara medium utama yang digunakan pelaku-pelaku Islamofobia ialah menggunakan media sosial sebagai alat utama menyebar fitnah dan kebencian. Tidak boleh tidak, kita perlu mengakui bahawa kekuatan media sosial harus kita gunakan kembali untuk menentang kebencian dan media sosial mempunyai kapasiti itu. Jangan dilawan kebencian dengan kebencian, jangan dinoda jiwa dengan kata-kata fitnah dan hasutan. Media sosial bukan alat melahirkan pelampau dan bukan alat untuk berlawan lawan. Berlembut dan berhikmah mungkin cadangan yang klise, namun itulah juga pendekatan dakwah Rasulullah yang pastinya kekal relevan sepanjang zaman.

Dalam situasi ini juga kita boleh melihat keadaan yang ada dalam bentuk risiko dan peluang. Islamofobia itu sendiri adalah risiko buat kita semua andai tidak dibendung dengan hikmah. Namun, ia juga adalah peluang untuk kita untuk melawannya dengan sentiasa menunjukkan teladan yang baik buat rakan-rakan bukan Muslim yang sekali gus mewujudkan suasana harmoni dalam negara pelbagai budaya seperti Malaysia. Juga mungkin saranan yang klise, namun menonjolkan kebaikan baik dalam kehidupan seharian mahupun diarkib dalam media sosial pastinya mempunyai impak tersendiri dalam dunia tanpa sempadan hari ini.

Selain itu, mungkin tidak keterlaluan jika peranan pelbagai institusi Islam di negara ini menjadi sangat relevan dalam menangani Islamofobia. Menyebarkan maklumat yang bertunjangkan Islam dalam bentuk yang kontemporari lagi menarik menerusi media sosial mampu menjadi salah satu wadah berkesan dalam membudayakan input Islam yang benar untuk masyarakat dunia. Kefahaman tentang Islam yang sebenar harus datang daripada mereka yang arif dalam bidangnya lagi berwibawa, kerana di situlah kredibiliti maklumat yang membezakan kandungan tentang Islam yang datangnya daripada pelbagai sumber yang mungkin menarik tetapi boleh diragukan. Alang kepalang kekuatan media sosial yang tidak diragukan lagi, mengapa tidak digunakan sebagai wadah ampuh melawan Islamofobia?

Mengapa tidak kita jalankan gerakan besar-besaran dengan media sosial melawan Islamofobia menerusi gerakan sistematik lagi bersepadu dalam kalangan semua institusi Islam di Malaysia? Di sinilah mungkin kita diuji dan teruji, namun jika bukan kita sendiri yang bangkit menyatakan kebenaran, mungkinkah api kemarahan yang terus membara dan fitnah akan lenyap? Jika kita tidak ‘melawan’ kita sepertinya reda diperkotak-katikkan, sekaligus mengiyakan nista. Jika kita tidak bersedia dengan ilmu dan segala kekuatan, kitalah yang akan lenyap dalam keganasan arus teknologi yang menghayutkan dunia dengan berita palsu serta godaman jiwa dan minda. Jika bukan kita yang bangkit, siapa lagi?