Dr. Fauziah Hassan
Dr. Fauziah Hassan Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Masyithoh Anuar Musaddad Penuntut Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Lensa wartawan secara global tidak henti melaporkan senario pergolakan yang berlaku di seluruh dunia terutama yang melibatkan negara Islam dan masyarakat Muslim. Bermula dengan peristiwa ‘the Arab Spring’ yang berlaku pada 2010 menjadikan media barat tidak kering idea untuk sentiasa melaporkan berita-berita pergolakan yang berlaku di timur tengah. Mohd Irwan Syazli (2018) menyatakan punca pergolakan itu berlaku ekoran daripada aktiviti rasuah, pemerintahan kuku besi di Tunisia, Mesir, Libya, Algeria, Syria dan Maghribi, masalah pengangguran dan ketidaktentuan ekonomi telah menjadi punca kepada kemarahan dan desakan rakyat. Namun begitu, terorisme dan ekstremisme yang sebenar tidak tertakluk pada agama dan kelompok tertentu bahkan ia merangkumi semua kelompok atau individu yang melakukan perbuatan melampau ke atas agama, darah, akal, harta dan kehormatan manusia. Jika diimbas kembali pada tahun lepas, peristiwa di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand merupakan satu contoh kejutan besar buat dunia apabila New Zealand yang merupakan antara negara paling selamat turut diserang pengganas dari kalangan ‘non-muslim’. Peristiwa ini memberi impak besar pada dunia kerana kebanyakan isu terorisme dan ekstremisme sebelum ini kerap dikaitkan dengan golongan Islamis sahaja seperti yang diwar-warkan media barat.

Syarul Azman (2018) menyatakan dalam kajian lepas bahawa pihak Barat menggunakan media bagi mengecam orang Islam dan negara-negara Islam dengan pelbagai istilah seperti ortodoks, fundamental dan konservatif. Istilah-istilah tersebut kemudiannya menjadi lebih keras dan kasar sehingga menampakkan setiap tindakan orang Islam sebagai menakutkan. Kemudian, di atas dasar perasaan takut, mereka mencipta pula persepsi Islamofobia dan mengaitkannya dengan keganasan, pembunuhan, rampasan kuasa dan lain-lain tindakan jenayah. Sehinggakan, mereka membentuk persepsi bahawa pakaian yang digunakan sebahagian masyarakat Islam sebagai amat menakutkan atau ditafsirkan mempunyai kaitan dengan penjenayah. Oleh yang demikian, ikon Islam dilihat sebagai suatu perkara yang salah dan bertentangan dengan kebebasan manusia.

Ketidakseimbangan laporan di media menjadi salah satu faktor mengapa Islam masih lagi dipandang negatif. Pada tahun 2013 contohnya, kenyataan Syeikh Ali Jumu’ah telah dimanipulasi oleh Al-Jazeera dan golongan ekstremis di mana Syeikh Ali Jumu’ah dalam suatu ucapannya di hadapan tentera Mesir di semenanjung Sinai bertarikh 18 Ogos 2013, ‘idrob fil malyan’ yang bermaksud tembaklah kaki mereka ditujukan pada golongan pengganas dan pemberontak di semenanjung Sinai. Ucapan oleh Syeikh Ali Jumu’ah telah diseleweng oleh Al-Jazeera dalam berita bertarikh 8 Oktober 2013 mengatakan bahawa kenyataan Syeikh Ali Jumu’ah dituju kepada demonstran di Medan Rab’ah. Peristiwa pertumpahan darah di Medan Rab’ah itu hakikatnya berlaku pada 14 Ogos 2013. Perkara ini amat mustahil untuk disimpulkan bahawa video ucapan bertarikh 18 Ogos 2013 menjadi punca kepada pertumpahan darah bertarikh 14 Ogos 2013. Ini adalah bukti bahawa Al-Jazeera adalah media pro-barat yang cuba memporak-perandakan negara-negara di timur tengah.

Baru-baru ini juga, Malaysia dikejutkan dengan video dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang diterbitkan oleh Al-Jazeera di siaran You Tube Al-Jazeera English yang bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’. Di dalam video tersebut, Al-Jazeera menggambarkan bahawa kerajaan Malaysia memberi layanan yang buruk kepada warga asing ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa baru-baru ini berikutan wabak COVID-19. Perkara ini mencetus kemarahan rakyat Malaysia kerana berita yang disampaikan bercanggah dengan realiti semasa. Menteri Kanan (Keselamatan) Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sebuah sidang media bertarikh 6 Julai 2020 berkata, Al-Jazeera melakukan pembohongan yang nyata dengan mengatakan bahawa kanak-kanak digari untuk dibawa ke pusat tahanan. Tambah beliau lagi, kerajaan Malaysia turut menyediakan pusat rawatan khas kepada mereka di MAEPS dan telah disaring dan dirawat sehingga sembuh. Beliau turut mencabar Al-Jazeera dengan menunjukkan bukti negara yang menerima kedatangan warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Berikutan isu yang tidak henti mengenai pelaporan yang tidak seimbang di media barat mengenai Islam dan umat Islam, justeru penyelidik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjalankan kajian untuk melihat tahap pengetahuan dan impaknya isu ini kepada pelajar Universiti Awam. Kajian ini dijalankan susulan daripada punca berlakunya peningkatan isu berkaitan Islamofobia/keganasan di luar negara begitu juga di Malaysia. Selain itu, ia berikutan kajian yang menunjukkan bahawa media Barat masih mewakili agama Islam dan Muslim dengan cara yang negatif sama ada dalam perwakilan media, pelaporan berita atau bahasa yang digunakan dalam pelaporan. Malahan kaedah penyelidikan yang berkaitan juga berat sebelah apabila penyelidikan yang dijalankan juga menunjukkan bahawa semua berita, video, kartun dan kandungan lain mengenai Islam dan umat Islam terdedah kepada pandangan negatif yang sama. Justeru, kajian ini akan melihat dari sisi yang berbeza terhadap tahap pengetahuan dan impaknya dalam kalangan pelajar UA. Kajian ini juga penting seiring dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr. Zulkifli Al-Bakri dalam Bayan Linnas Siri ke-184 bertajuk ‘Tabayyun dalam Penerimaan dan Penyampaian Berita’ turut menggariskan beberapa adab menyampaikan berita. Antaranya, penyampai berita perlu bertanggungjawab dengan segala ucapan dan penyampaiannya. Selain itu, berita yang disampaikan itu mestilah benar dan tidak mengundang kemurkaan Allah dan tidak berlaku kekacauan dalam masyarakat.

Dalam hal ini, penyelidik melihat semula peranan Al-Azhar sebagai sebuah institusi yang berteraskan manhaj wasatiyyah dan mengaplikasikannnya dalam pelaporan berita oleh media. Ini kerana Al-Azhar menjadi medan menyebarkan keindahan agama Islam dan menjelaskan ajarannya yang banyak memberi penekanan kepada keharmonian dan toleransi dalam hidup bermasyarakat. Manhaj wasatiyyah yang diperkenalkan mengambil kira kaedah usul fiqh iaitu “apabila bertembungnya dua mafsadah, maka ditolak mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.”

Secara asasnya, kaedah ini ada sandarannya daripada nas syarak iaitu berdasarkan firman Allah di dalam Surah al-Kahfi ayat 79. Berdasarkan ayat tersebut, kita dapat mengambil beberapa istifadah penting. Pertamanya, perahu tersebut dimiliki oleh orang miskin yang bekerja di lautan. Justeru, keadaan ini menggambarkan betapa pentingnya peranan perahu pada mereka. Ia dirosakkan kerana terdapat seorang raja yang mahu merampas perahu-perahu yang masih elok dan meninggalkan perahu yang rosak. Merosakkan perahu adalah satu keburukan tetapi ia masih dapat dibaikpulih. Namun, perahu dirampas mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada si miskin untuk membeli perahu yang baharu.

Kesimpulannya, Islam menyeru umatnya menyemak asas kebenaran sesuatu berita sebelum menyebarkannya. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat Ayat 6 “Wahai orang-orang beriman, apabila datang kepadamu seorang fasik membawa berita, maka selidiklah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.” Ibn Jarir berkata, “hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguh seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu makrifah dan yakin akan kebenarannya. Jangan sesekali kamu gelojoh untuk menerimanya.”