Prof. Madya Dr. Faizal Kasmani
Prof. Madya Dr. Faizal KasmaniDekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Sebagai bekas pengamal media dan seorang pengguna tegar media sosial khususnya Twitter, saya melihat apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) adalah suatu yang luar dari kebiasaan bagi landskap media di Malaysia.

Pada liputan pilihanraya yang terdahulu, terutama bermula tahun 2008, media sosial telah menggantikan media arus perdana sebagai wadah utama untuk mendapatkan maklumat yang terkini, maklum yang pelbagai dan tidak berat sebelah berkaitan politik dan isu semasa.

Ini kerana media sosial merupakan platform yang terbuka dan tidak di kawal oleh mana-mana pihak.

Pilihanraya umum pada tahun 2018 khususnya memperlihatkan bagaimana pihak pembangkang ketika itu, dengan hanya menggunakan Facebook dan Twitter sebagai platform berkempen, mampu mengalahkan kerajaan Barisan Nasional yang mempunyai sokongan hampir kesemua media arus perdana.

Kehadiran media sosial sejak tahun 2008 telah menyebabkan kredibiliti media arus perdana seperti suratkhabar dan TV semakin merudum, kerana ia dilihat sebagai berat sebelah dan hanya memberikan liputan terhadap satu pihak sahaja.

Namun pada PRU15 perkara sebaliknya berlaku.

Jika dilihat di media sosial khususnya di Twitter dan TikTok, maklumat yang “trending” dan tular lebih kepada menyokong kepada sesuatu parti, pakatan atau sebelah pihak sahaja.

Di Twitter, maklumat yang menjadi trending lebih cenderung kepada sokongan terhadap Pakatan Harapan manakala di TikTok, video dan klip yang tular lebih menyokong kepada Pakatan Rakyat.

Di Facebook yang merupakan laman separa peribadi, apa yang muncul di “timeline” pengguna masing-masing bergantung kepada kecenderungan maklumat yang ingin dilihat dan tingkahlaku dalam talian rakan masing-masing.

Media sosial di Malaysia pada PRU15 telah menjadi “echo chamber” atau ruang gema di mana seseorang hanya menemui maklumat atau pendapat yang mencerminkan dan menguatkan pandangan mereka sendiri.

Menariknya, liputan media arus perdana yang dahulu lebih dianggap sebagai “echo chamber” telah berubah dengan agak drastik.

Kebanyakan pembuat berita arus perdana dan berita televisyen, samaada secara dalam talian atau luar talian memberikan liputan kepada kedua-dua belah pihak samaada parti kerajaan atau parti-parti pembangkang.

Ini satu perkembangan yang sangat menarik bagi landskap media di Malaysia kerana sejak berdekad lamanya, media arus perdana dianggap sebagai alat bagi pihak kerajaan dan parti politik untuk menyampaikan maklumat berkaitan ideologi mereka.

Hasilnya, media arus perdana dikawal dan dikekang melalui pelbagai akta dan jenis pemilikan.

Ini menyebabkan sebelum ini media di Malaysia tidak menjalankan tugas masing-masing yang sepatutnya menjadi tulang belakang kepada sistem demokrasi dan menjadi bebas, profesional dan bertanggungjawab serta menjadi wadah kepada penyampaian maklumat berfakta, mengkritik secara membina dan merangsang perdebatan.

Perubahan drastik terhadap landskap media arus perdana di Malaysia bermula sejak perubahan kerajaan pada 2018 dimana skor Indeks Kebebasan Media Dunia bagi Malaysia telah mencatat peningkatan mendadak dengan lonjakan 22 anak tangga kepada kedudukan 101 untuk tahun 2020. Namun pada tahun 2021 kedudukan Malaysia menurun sedikit  kepada kedudukan 119.

Diharapkan dengan perubahan kerajaan baharu dibawah kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, media arus perdana di Malaysia akan terus dapat menjalankan tanggungjawab dengan efektif sebagai wadah yang dipercayai, bertanggungjawab dan memastikan fakta yang tepat untuk rakyat membuat keputusan bagi sesuatu perkara.

Ini amat penting agar media arus perdana dapat saling melengkapi bagi platform-platform media sosial yang dilihat lebih terpisah dan berat sebelah kepada sesuatu pihak sahaja.